KUALA LUMPUR: Dijangka lebih ramai penyewa tidak mampu membayar sewa bulanan jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijadualkan berakhir 4 Februari ini terus dilanjutkan.
Situasi ini akan mewujudkan lebih ramai gelandangan di bandar-bandar besar di seluruh negara kerana dalam tempoh beberapa bulan ini, semakin ramai diramal hilang kerja.
Perkara itu diakui beberapa persatuan penduduk dan individu yang keluh-kesah dengan masalah untuk melunaskan sewa rumah atau bilik.
Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Puncak Jalil, Zainuddin Zainal, 55, berkata, banyak penghuni di tempatnya memohon surat sokongan untuk meminta rumah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana tidak mampu terus menyewa di sini.
Katanya, ini kerana terdapat tuan rumah yang mengenakan harga sewaan terlalu mahal walaupun ramai penyewa yang berdepan masalah terjejas pendapatan.
“Kawasan ini sewa bulanan seunit rumah antara RM800 hingga RM1,500. Sekarang ini hari setiap hari saya berjumpa dengan penduduk yang menghadapi masalah sama,” katanya ketika ditemui semalam.
Zainuddin berkata, terdapat beberapa ibu tunggal yang berniag kecil-kecilan di sini juga mengeluh kerana semakin tidak mampu mambayar sewa kerana terjejas hasil jualan.
Sehubungan itu, menurut beliau, DBKL mesti mengambil langkah proaktif dengan meneliti mana-mana rumah kosong bagi membantu mereka yang benar-benar terjejas.
Pada April tahun lalu, syarikat hartanah Speedhome mendedahkan lebih 10 peratus penyewa gagal membayar sewa kerana hilang atau terjejas pendapatan akibat PKP.
Media juga pernah melaporkan, DBKL sendiri mengakui semakin ramai warga kota bakal menjadi gelandangan akibat hilang pekerjaan dan tidak mampu bayar sewa.
Sementara itu, bekas Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kampung Air Panas, Hussain Yussuf pula berkata, pihaknya juga menerima banyak aduan penduduk yang rata-rata semakin susah untuk membayar sewa dan membayar bil elektrik.
“Ini semua berlaku sejak PKP dan sejak itu saya cuba membantu dengan menguruskan bantuan Baitulmal kepada mereka yang terkesan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang penuntut di sebuah universiti awam, Kamarul Imtiyaz Kamarul Zaman, 25, di Bangsar Selatan berkata, dia turut berdepan tekanan bayaran sewa selepas tuan rumah menaikkan harga bilik melebihi RM300 sebulan.
“Saya tidak boleh bergantung dengan keluarga kerana mereka juga terkesan. Bagi menampung keperluan bayaran sewa saya kena cari kerja.
“Nak keluar bilik ini tidak boleh sebab saya terikat dengan kontrak,” katanya. – UTUSAN










