Sewa rumah, bilik di Selangor meningkat

Sewa rumah, bilik di Selangor meningkat

Sewa rumah atau bilik di Selangor meningkat sehingga ada sampai 25 peratus. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyewa rumah atau bilik di Selangor resah kerana harga sewa bulanan didakwa meningkat antara RM50 hingga RM300 tahun ini.

Pemilik rumah atau bangunan menyatakan kenaikan harga sewaan disebabkan oleh peningkatan kos sara hidup yang mereka sendiri hadapi.

Seorang pelajar kolej swasta, program Diploma Pereka Grafik, A. Tamarin, 20, berkata, sewa bilik di sebuah kondominium di Subang Jaya dinaikkan dari RM900 sebulan kepada RM1,200.

“Keluarga saya bukan sahaja terbeban dengan harga bilik dinaikkan RM300 tetapi juga harga makanan di kebanyakan medan selera di sekitar kediaman saya yang meningkat sehingga RM1,” jelasnya.

Katanya, kenaikan sewa bilik menyebabkan dia terpaksa bekerja sambilan untuk menampung perbelanjaan hariannya di kolej,” kata dengan memberitahu bilik disewanya hanya muat-muat untuk dua orang.

Pelajar tahun akhir jurusan Syariah dan Undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Farhan Mohd Asri, 23, berkata, dia terpaksa mencari rumah sewa baharu selepas pemimilik mahu menaikkan sewa rumah RM100 pada bulan berikutnya.

“Saya dan rakan-rakan mula menyewa rumah di Bandar Baru Bangi kerana tidak mendapat kolej kediaman di UKM sejak semester empat.

“Saya menyewa bilik dengan harga RM600 sebulan dan berkongsi dengan seorang lagi, masing-masing membayar RM300. Namun, tuan rumah menghantar WhatsApp memberitahu bahawa harga sewa bilik akan dinaikkan kepada RM700 sebulan,” jelasnya.

Seorang penyewa bilik di kawasan Petaling Jaya juga mengalami nasib sama apabila pemilik mahu menaikkan harga sewa biliknya RM50.

Penyewa yang mahu dikenali sebagai Izzati berkata, dia terkejut menerima notis memaklumkan harga sewa bilik dinaikkan sebanyak RM50.

Sementara itu, seorang ejen dan pemilik hartanah, Nur Fadhillah Sulaiman, 37, berkata kadar sewa rumah atau bilik di Lembah Klang mula meningkat sejak tahun lalu, dengan kenaikan yang lebih drastik selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel pada Jun.

Pelaksanaan dasar ini telah menyebabkan kos barangan asas dan utiliti meningkat, yang akhirnya mempengaruhi kadar sewa.

Menurut beliau, ada pemilik hartanah berhampiran pengangkutan awam seperti LRT dan MRT mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sewa sehingga ‘menekan’ penyewa.

Seorang lagi ejen rumah sewa yang tidak mahu dikenali mengakui harga bilik sewa di kawasan Sunway dan Subang Jaya kini naik ada yang naik sehingga 25 peratus dan bergantung kepada lokasi dan permintaan.

Menurut beliau, kenaikan ini dikatakan berpunca daripada peningkatan kos-kos termasuk utiliti, internet, dan perkhidmatan pembersihan.

“Faktor lain peningkatan permintaan untuk bilik sewa di kawasan tersebut, terutamanya oleh pelajar dan pekerja yang bekerja di sekitar kawasan ini.

“Buat masa ini kos penyelenggaraan dan pembaikan bangunan semakin mahal antara sebab pemilik minta ejen menaikkan harga sewa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN