Lelaki pengsan motosikal ditendang peragut  - Utusan Malaysia

Lelaki pengsan motosikal ditendang peragut 

Menyamar polis
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang lelaki pengsan dan cedera selepas motosikal ditungganginya ditendang peragut bermotosikal di Jalan Sungai Lokan, Seri Pinang, di sini semalam. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu, mangsa berusia 23 tahun sedang menunggang motosikal jenis Honda EX5 bersendirian untuk ke tempat kerja di sini. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa sebelum itu menyedari dia diekori sebuah motosikal dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan. 

Berikutan itu jelasnya, mangsa memecut motosikalnya, namun dikejar sehingga kira-kira 100 meter sebelum suspek menghimpit dan mengarahkannya berhenti. 

“Bagaimanapun mangsa tidak berhenti sebelum menyedari motosikalnya ditendang dan dia terjatuh sehingga tidak sedarkan diri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Noorzainy berkata, mangsa kemudiannya diselamatkan oleh orang awam yang melihatnya terbaring di atas  jalan sebelum menghantar pulang ke rumah di Permatang Sintok, Kepala Batas dekat sini. 

Sebaik sahaja sedar, ujar beliau, mangsa mendapati beg galas yang mengandungi telefon bimbit, dokumen peribadi, jam tangan dan wang miliknya hilang. 

“Mangsa yang cedera dan luka pada beberapa bahagian badan kemudiannya dibawa ke Hospital Kepala Batas bagi mendapatkan rawatan,” katanya. 

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial selepas beberapa keping gambar memaparkan keadaan mangsa yang cedera itu dimuat naik dalam Facebook. 

Pemilik sebuah akauan Facebook yang membuat hantaran berkaitan turut mendakwa kejadian sama pernah berlaku beberapa kali di kawasan berkenaan, namun Noorzainy menafikan dakwaan tersebut. 

“Berdasarkan rekod, ini merupakan kejadian kali pertama di kawasan itu kerana pihak polis tidak pernah dimaklumkan atau menerima laporan seperti kejadian sama. 

“Kenyataan tular itu adalah tidak benar,” katanya. 

Menurut Noorzainy, polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dan usaha memburu mereka sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN