KDN mungkin haramkan buku Tommy - Utusan Malaysia

KDN mungkin haramkan buku Tommy

TOMMY THOMAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Buku `My Story: Justice in The Wilderness’, penulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berkemungkinan diharamkan jika kandungannya benar-benar didapati melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).

Sumber mendedahkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti isi kandungan buku tersebut yang didakwa beberapa pihak boleh menimbulkan kekacauan selain berunsur fitnah.

Selain itu, kata sumber, KDN juga difahamkan akan merujuk kepada Pejabat Peguam Negara berhubung beberapa kandungan dalam buku tersebut.

“Difahamkan proses penilaian dijalankan panel-panel KDN bagi mengetahui sama ada penulisan Tommy melanggar udang-undang atau sebaliknya.

“Jika benar seperti didakwa, buku itu mungkin ditarik balik dan diharamkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam pada itu, sumber berkata, bagaimanapun, proses tersebut mengambil sedikit masa kerana setiap isi kandungan akan diteliti.

Jelas sumber, penerbitan buku oleh Tommy sebelum ini dibenarkan kerana tidak memerlukan lesen KDN.

“Lesen di bawah KDN melibatkan penerbitan berkala antaranya majalah, surat khabar dan lain-lain,” ujarnya.

Pada 31 Januari, Tommy mengeluarkan buku memoir 573 muka surat yang antara lain memaparkan kisah kejayaan dan kegagalan beliau sewaktu pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) daripada perspektifnya.

Dalam buku sama, Tommy turut menulis beberapa isu antaranya, krisis 1Malaysia Development Berhad; kontroversi pendakwah bebas, Dr. Zakir Naik serta kisah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang melepaskan jawatannya.

Kelmarin, Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim menyifatkan pendedahan Tommy dalam bukunya melanggar sumpah rahsia sebagai bekas Peguam Negara.

Rais turut mempersoalkan sama ada buku Tommy tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, adalah melampau sekiranya kerajaan mengarahkan penarikan balik dan mengharamkan penerbitan buku ‘My Story: Justice in The Wilderness’.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, tindakan tersebut hanya dilihat sebagai menyekat hak kebebasan penulis untuk berkarya dan pembaca bagi mengetahui isi kandungan buku itu.

Malah katanya, penarikan dan pengharaman buku tersebut boleh dibuat di bawah Akta Mesin Cetak 1984 sekiranya mempunyai unsur membahayakan keselamatan negara atau boleh mencetuskan rusuhan kaum.

“Sekiranya kandungan buku itu dirasakan palsu dan menjatuhkan maruah seseorang maka orang berkenaan boleh membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang sivil terhadap penerbit, penulis dan pencetak.

” Namun, jika kerajaan mahu menarik penerbitan atau mengharamkan buku itu, ia adalah reaksi melampau. Masyarakat ada hak untuk membaca dan penulis juga ada hak untuk menulis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, Polis Selangor membuka kertas siasatan terhadap Tommy berhubung dakwaan memfitnah.

Kertas siasatan kes berkenaan dibuka selepas polis menerima laporan daripada bekas pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN