Jiwa Emosi Eemrun - Utusan Malaysia

Jiwa Emosi Eemrun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penjiwaan dalam menyampaikan lagu merupakan elemen penting dalam mengunci halwa telinga pendengar. Kita dapat merasa setiap emosi penyanyi ditambah pula dengan lirik dan melodi indah.

Di usia yang cukup muda, Eemrun menanam rasa sedih kehilangan nenda tercinta menerusi lagu Emosi. Setiap rasa diterjemah dengan baik dalam lagu ciptaan dia sendiri.

Membuka cerita, anak jati Kuala Lumpur ini berkata, idea dan melodi lagu itu datang secara tiba-tiba pada pukul 3 pagi tatkala dirinya bergelut dengan emosi selepas kematian nenek tercinta.

“Lagu ini mempunyai mesej yang sangat mendalam. Ketika itu saya berasakan diri kosong dan tidak mempunyai emosi selepas kematian nenek. Saya hilang tempat mengadu. Apa yang dilalui dan rasa, saya terjemahkan dalam lagu ini.

“Apabila pendengar mendengar lagu ini, mungkin mereka boleh kaitkan dengan cinta atau ketika kehilangan seseorang. Apa yang penting, saya mahu pendengar faham maksud tersirat pada setiap bait lirik lagu ini.

“Bagi saya, lagu Emosi kena dengan cita rasa orang kita kerana mereka boleh terima melodi yang dipersembahkan dalam lagu ini. Kalau mereka mendengar pasti dapat rasa dan boleh dijadikan terapi,” katanya.

Mula menunjukkan minat dalam dunia muzik sejak bangku sekolah, Eemrun belajar dan mengenal pelbagai genre muzik antarabangsa termasuk muzik underground. Tidak hairan, dia meneruskan cintanya dalam muzik.

Malah, di usia 13 tahun, dia sudah mula berjinak dalam penulisan lagu dan lirik. Walaupun dia belum mampu menonjolkan bakatnya secara mainstream, namun itu sudah cukup memberi kepuasan.

“Saya mula-mula memperdengarkan lagu kepada rakan-rakan. Yalah, kita mahu orang dengar dan beri pendapat. Selepas yakin dengan komen mereka, saya mula berjinak dalam dunia YouTube.

“Selepas itu, saya yakin untuk terus memperjuangkan apa yang sudah dimulakan. Saya memberanikan diri melangkah ke pasaran muzik tempatan secara komersial dengan mempertaruhkan Emosi,” katanya.
Mendapat sentuhan bersama penerbit Efry Arwis, lagu Emosi yang bergenre balada itu dihasilkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Berkongsi mengenai langkahnya terjun dalam pasaran muzik komersial, Eemrun berkata, ia satu lagi percubaan baharu dalam hidupnya seperti mana ketika terbabit dalam muzik underground.

“Sebelum ini saya artis underground saja. Saya buat lagu dan muat naik di YouTube. Selepas menghasilkan 20 lagu, kiranya lagu Emosi ini adalah yang pertama menjengah pasaran komersial. Semua lagu dihasil dan disiapkan sendiri di rumah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya