Jadikan Engku Ros Shazwani contoh - MITC - Utusan Malaysia

Jadikan Engku Ros Shazwani contoh – MITC

ENGKU Ros Shazwani Engku Lah bersama sijil anugerah Ikon Usahawan Muda 2020 dari MITC.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dewan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITC) meminta orang ramai yang ingin menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan supaya menjadikan pemilik Shazwaniey Fashion sebagai contoh dan ‘role model’ mereka.

Kesungguhan Engku Ros Shazwani Engku Lah, 31, berniaga bermula modal kecil dengan hanya membuka khemah dan kini mampu menyewa bangunan dua tingkat melayakkan wanita itu menerima anugerah Ikon Usahawan Muda 2020 dari MITC.

Pengerusi Pembangunan Usahawan MITC, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, Engku Ros Shazwani mula berniaga dengan modal RM350 untuk membeli khemah dan baju muslimah dijualnya.

“Pada permulaan, dia berniaga dengan menumpang di sebuah tapak kedai makan di Kampung Pandan, selepas itu, dia membuka khemah sedikit besar di hadapan Jungle Foodcourt di Indera Mahkota.

“Selepas itu, dia membuka lagi khemah di tapak sebuah kedai makan di Permatang Badak dan akhirnya menyewa bangunan dua tingkat di Indera Mahkota.

“Semua itu dalam tempoh enam tahun, hingga dia mampu memperoleh kejayaan ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zuhairi berkata, daripada menjalankan perniagaan sendiri dan secara kecil-kecilan, kini Engku Ros Shazwani mempunyai lapan pekerja.

“Hasil titik peluhnya itu tanpa mengenal erti jemu dan berputus asa, dia sekarang sudah berjaya miliki rumah dan kereta baharu,” katanya.

Jelasnya, berdasarkan kerja keras dan komitmennya serta pencalonan yang diterima, jawatankuasa pemilihan MITC bersetuju memilih Engku Ros Shazwani sebagai Ikon Usahawan Muda 2020.

Beliau dalam pada itu berkata, Shazwaniey Fashion juga menawarkan pelbagai diskaun kepada pemilik Kad Jiwa Prihatin dari Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP) bagi membantu golongan B40.

Menurutnya, dengan menjadikan Engku Ros Shazwani sebagai contoh, beliau berharap lebih ramai usahawan muda akan menceburi bidang perniagaan dan apa yang penting jangan malu atau segan untuk berjaya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN