Insiden tembakan angkat Jacinda Ardern - Utusan Malaysia

Insiden tembakan angkat Jacinda Ardern

JACINDA Ardern menerima jambangan bunga daripada seorang budak lelaki semasa beliau tiba di Masjid Al-Noor, Christchurch. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nama Jacinda Ardern menjadi sebutan di seluruh dunia selepas insiden keganasan tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand, 15 Mac 2019.

Ardern menerima pujian hebat dari seluruh dunia kerana berjaya memimpin negara itu mengharungi tragedi yang meragut 50 nyawa.

Malah, dua petisyen dianjurkan bagi mencalonkan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern anugerah Nobel Keamanan kerana kecekapannya mengendalikan tragedi tembakan rambang tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tragedi yang berlaku ketika Solat Jumaat di Masjid Al-Noor dan Pusat Islam Linwood di Chrsitchurch itu membuktikan negara seaman New Zealand turut tidak terlepas daripada ancaman keganasan.

“New Zealand menjadi lokasi insiden keganasan kerana negara ini adalah selamat, tiada tempat bagi kebencian atau rasisme.

“Ini kerana kita mengangkat nilai kepelbagaian, kebaikan, belas kasihan serta rumah bagi mereka yang berkongsi nilai yang sama. Tempat perlindungan bagi mereka yang memerlukan,” tegas Ardern.

KREDIBILITI ARDERN

Ardern menzahirkan keprihatinan yang tinggi kepada rakyatnya sebagai seorang ketua.

Bukan sahaja tegas, berani, malah tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak sepanjang menguruskan insiden yang didalangi pengganas warga Australia, Brendon Tarrant.

Ardern dengan lantang mengatakan ia adalah perbuatan pengganas dan bukan perbuatan jenayah seperti yang dilabelkan media-media Barat.

Ardern turut memperlihatkan sisi lembut beliau sebagai seorang pemimpin semasa perisitwa hitam dalam sejarah keganasan di dunia.

Beliau kelihatan seperti seorang ibu yang prihatin dan penyayang dengan membantu mengurangkan kesedihan keluarga mangsa.

Beliau menunjukkan akhlak yang baik dengan berhijab sepanjang berada di dalam masjid dan ketika melawat mangsa-mangsa yang cedera di hospital.

PANDEMIK COVID-19

New Zealand sememangnya mempunyai kepemimpinan yang hebat bagi menentang penularan wabak Covid-19.

Satu tinjauan mendapati Ardern merupakan pemimpin paling popular dalam tempoh 100 tahun.

Hampir 92 peratus responden memberi sokongan terhadap pendekatan yang digunakan semasa memerangi virus tersebut.

Perkara ini terbukti apabila negara itu pernah mencatatkan sifar jangkitan Covid-19 selama tempoh dua bulan.

Semasa sidang akhbar 11 Mei tahun lalu, beliau berterima kasih kepada ‘pasukan lima juta’ kerana usaha terbaik dan pengorbanan dilakukan bagi melindungi negara daripada serangan wabak itu.

“Negara Kiwi daripada semua peringkat kehidupan sangat tegas dan bertekad bahawa peperangan ini perlu dimenangi sekiranya semua pihak bekerjasama,” katanya.

 

JACINDA Ardern berucap di hadapan pelajar semasa berkempen di Universiti Victoria, Wellington. – AFP

PILIHAN RAYA

Ardern seorang pemimpin berkarisma, optimis, cekal serta merendah diri yang berjaya menarik undi daripada golongan wanita dan belia sekali gus menyebabkan undi Parti Buruh semakin meningkat.

Kemenangan Parti Buruh yang diterajui beliau semasa Pilihan Raya Umum tahun lalu sememangnya sudah dijangka apabila berjaya meraih 49 peratus daripada undi keseluruhan, berbanding pencabarnya dari Parti Nasional, Judith Collins yang hanya mengutip 27 peratus undi.

Bahkan, parti itu berjaya mendapat majoriti mutlak daripada 120 kerusi Parlimen dipertandingkan yang disifatkan sebagai sesuatu yang jarang berlaku.

Sejak menjadi pemimpin dari 2017, beliau secara konsisten dipuji menerusi pendekatan mesranya yang jauh berbeza dengan personaliti agresif dan kejam yang sering dikaitkan dengan pemimpin negara itu selama berabad.

Ardern menggesa pendidikan percuma di universiti, mengurangkan bilangan pendatang asing, menjenayahkan pengguguran anak dan program baharu membasmi kemiskinan dalam kalangan kanak-kanak.

Beliau berjanji membawa kesepakatan lebih adil bagi golongan yang terpinggir.

Baru-baru ini, Ardern mengumumkan produk kebersihan diberikan secara percuma kepada pelajar perempuan di sekolah seluruh negara bermula 2021 dalam usaha membasmi kemiskinan.

DENGAR, BELAJAR DARI KANAK-KANAK

Ardern menyertai Parti Buruh di negaranya sejak berusia 17 tahun kerana mahu membantu mengurangkan kemiskinan yang melanda kanak-kanak.

Menjadi aktivis muda adalah sebab kenapa beliau sangat mudah mendengar masalah kanak-kanak.

Sebelum menjadi pemimpin dunia, Ardern bekerja di organisasi belia antarabangsa, melawat pelarian dan kanak-kanak terlantar.

 

LATAR BELAKANG

Nama penuh:
• Jacinda Kate Laurell Ardern

Tarikh lahir:
• 26 Julai 1980

Tempat lahir:
• Hamilton, New Zealand

Keluarga:
• Ayahnya merupakan pegawai penguat kuasa undang-undang dan menjadi Pesuruhjaya Tinggi Kerajaan pada 2014 di kepulauan Niue.
• Ibunya adalah seorang pekerja kafeteria di sekolah di Hamilton.

Pendidikan:
• Melanjutkan pelajaran di peringkat matrikulasi di Universiti Waikato 1999.
• Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Komunikasi, 2001

Pencapaian:
• Berkecimpung dalam arena politik sejak berusia 17 tahun.
• Ahli politik yang menjadi ketua Parti Buruh New Zealand pada Ogos 2017
• Perdana Menteri New Zealand termuda semasa berusia 37 tahun sekali gus memecah rekod 150 tahun pentadbiran negara itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini