KUANTAN: Seorang guru di Bentong dekat sini rugi RM3,300 selepas diperdaya penjual barang kemas yang mengadakan promosi jualan murah di laman sosial Instagram semalam.
Kejadian berlaku apabila wanita berusia 40 tahun itu menghubungi suspek untuk membeli gelang emas seberat 10 gram seperti diiklankan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir. Mohd. Yusof berkata, mangsa lantas menghubungi penjual berkenaan untuk urusan pembelian.
“Selepas itu, mangsa menerima mesej daripada suspek berkenaan gelang emas yang ingin dibelinya.
“Tanpa berfikir panjang, mangsa telah memindahkan wang ke dalam akaun yang diberi suspek,” ujarnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Wazir berkata, guru wanita tersebut menyedari tertipu selepas mendapati akaun bank yang dimasukkan wang tersebut adalah milik seorang lelaki.
“Dia (mangsa) berasa tertipu selepas mendapati akaun tersebut bukan atas nama kedai emas seperti yang diiklankan, tetapi milik seorang individu,” tambahnya.
Mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










