TAMPIN: Gara-gara ingin mengelak seekor kerbau di tengah jalan, sebuah lori tangki terbabas di selekoh Kampung Chenaga, Jalan Repah-Kuala Pilah, dekat sini, awal pagi tadi.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 1.00 pagi itu, pemandu lori iaitu seorang lelaki berusia 25 tahun tidak mengalami kecederaan serius.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Anuwal Ab. Wahab berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori tangki tersebut dalam perjalanan dari Bahau ke Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur.
“Apabila sampai di selekoh di Kilometer 1 Jalan Tampin ke Kuala Pilah, tiba tiba seekor haiwan berada di hadapan laluannya dan pemandu mengelak ke kiri jalan lalu terbabas.
“Bahu jalan yang lembut dan licin menyebabkan lori membawa muatan simen itu hilang kawalan lalu terbabas ke kiri tebing dan terbalik sebelum melanggar penghadang jalan serta tiang telefon,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat kemalangan itu, lori tangki tersebut mengalami kerosakan di bahagian depan dan belakang manakala pemandunya tidak mengalami kecederaan.
Sementara itu, seorang penduduk, Nizar Ahmad, 56, berkata, ketika kejadian dia belum tidur dan kemudian dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.
“Saya intai dari tingkap rumah dan ternampak cahaya lampu dari tebing sungai yang hanya berjarak 50 meter dari rumah.
“Saya segera keluar menyuluh lokasi berkenaan dan seorang lelaki berdiri di atas kepala lori meminta pertolongan,” katanya.
Nizar berkata, pemandu yang berasal dari Tangkak, Johor berkenaan menyatakan dia dalam perjalanan menghantar muatan 50 tan metrik simen dari Bahau ke Klang.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, ada kerbau dan dia cuba mengelak melanggar haiwan berkenaan lalu terbabas. Kawasan ini memang banyak kerbau.
“Selepas kejadian, mangsa tidur di rumah saya, sementara menunggu membuat laporan polis pagi ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE