Eksperimentasi jukstaposisi AIPP - Utusan Malaysia

Eksperimentasi jukstaposisi AIPP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUKSTAPOSISI ialah tindakan meletakkan perkara yang berbeza atau berlawanan secara sebelah-menyebelah yang biasa dilakukan dengan tujuan seni.

Saya menganggap cubaan jukstaposisi boleh menghasilkan sesuatu yang sangat hebat dan turut boleh menatijahkan karya yang buruk.

Namun, untuk Ali Idris dan Para Penonton (AIPP), hasil jukstaposisi mereka berada di tengah-tengah. Saya secara peribadi belum memutuskan untuk menganggap hasilnya sangat baik atau sangat buruk. Sementara ini, saya letakkan ia sebagai baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

AIPP ialah projek solo Ali Idris yang sebelum ini telah melalui banyak fasa muzik. Dia pernah menganggotai kugiran metal, ska punk dan turut pernah tampil solo. Namun, semuanya seakan tak menjadi dan dia mengambil keputusan untuk fokus dengan karier sebagai usahawan.

Kini setelah perniagaannya stabil, dia mencuba nasib sekali lagi dalam industri muzik melalui AIPP.

Cinta headbanging

Apa yang jukstaposisinya dengan karya AIPP? Dia meletakkan lirik yang biasanya sesuai untuk lagu balada pop ke dalam melodi rancak dan tempo pantas. Mungkin tidak sebelah-menyebelah tetapi unsur berlawanan itu ada.

Ia semacam tak kena. Macam pakai baju kuning dengan seluar ungu cerah. Namun anda perlu tahu, color blocking pernah menjadi trend dengan menggabungkan warna-warna cerah yang sebelumnya dilihat tak sesuai bersatu.

Mungkin begitu juga akan jadi kepada lagu-lagu AIPP. Awalnya mungkin orang sukar untuk terima namun akhirnya, pasti ada yang melekat.

AIPP kini telah tampil dengan tiga lagu dalam tempoh yang agak pendek, iaitu Menambat Hatimu, Perhiasan Kesayangan dan Hujan September. Tiga rilisan dalam empat bulan.

Ketiga-tiga lagu ini saya kategorikan sebagai lagu cinta headbanging. Liriknya ada elemen sedih, melankolik dan kadang-kadang bahagia tetapi melodinya buat anda headbanging.

Melodi rancak dan pantas ala pop punk itu juga datang dari fasa awal Ali Idris sebagai pemuzik yang bermain muzik metal, hardcore, ska juga punk. Semangat itu masih mahu dikekalkan, katanya.

Trilogi lelaki ego

Apa yang dilakukan AIPP ialah gambaran luahan hati seorang lelaki ego. Kata orang, dalam hati ada taman tapi malu-malu nak tunjuk. Jadi dia letak arca Metallica di tengah-tengah taman dan beritahu orang itu sebuah taman yang rock.

“Aku nak meluah, romantis tapi tak suka jiwang-jiwang, meleweh-leweh,” kata Ali Idris yang turut mencipta dan menulis lirik untuk lagu-lagu tersebut.

Ketiga-tiga lagu yang telah dilancarkan juga adalah trilogi kisah yang sama. Sebab itu, anda boleh lihat kesemua video muzik mereka menggunakan pelakon yang sama dan kisahnya bersambungan.
Malah, kisah ini khabarnya dipanjangkan lagi dalam lagu-lagu lain yang akan dikumpulkan dalam satu EP. Sebuah EP berkonsep yang dijangka dilancarkan pada Jun nanti.

Boleh dikatakan, ia menjadi daya penarik untuk AIPP. Kesinambungan kisah itu pasti memicu rasa ingin tahu dalam kalangan pendengar yang mahu tahu apa yang akan terjadi seterusnya.

Tontonan video muzik mereka juga sangat memberangsangkan. Menambat Hatimu yang dilancarkan pada 22 Oktober tahun lalu mendapat lebih 14,000 tontonan manakala Perhiasan Kesayangan yang dilancarkan pada 16 Januari lalu sudah ditonton hampir 24,000 kali.

Video muzik Hujan September pula baru dilancarkan Khamis lalu.

Menurut Ali Idris, tontonan yang banyak itu hasil usaha gigih pasukan publisitinya yang sentiasa mempromosi muzik videonya.

“Mungkin juga ramai yang menunggu sambungan kisah Menambat Hatimu jadi dia tonton juga video muzik Perhiasan Kesayangan.

Sebab itu kami pilih untuk buat video muzik yang bersambungan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini