KUBANG PASU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah berjaya mematahkan cubaan membawa masuk sebanyak 275 kilogram (kg) mangga dari Thailand di Kompleks Imegresin, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini, semalam.
Rampasan dilakukan hasil pemeriksaan rutin ke atas sebuah lori dari Thailand masuk pada pukul 2.31 petang.
Pengarahnya, Lily Rosalind Paul berkata, pemeriksaan ke atas lori itu mendapati bekalan mangga tersebut bernilai RM 728.75 gagal mematuhi syarat import yang ditetapkan.
“Lori berkenaan tidak mematuhi syarat import iaitu penggredan, pembungkusan dan pelabelan seperti yang dinyatakan dalam permit import MAQIS.
“Kita bertindak merampas dagangan tersebut untuk tindakan lanjut”, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana gagal mengemukakan maklumat tersebut.
“Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara enam tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Tambah beliau, bagi memastikan biosekuriti negara terjamin, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa di semua pintu masuk negara bagi setiap keluaran pertanian.- UTUSAN ONLINE










