KUALA TERENGGANU: Kapal layar Naga Pelangi 2 yang dibina tukang tempatan di Pulau Duyung, di sini pada 2003 pernah menarik perhatian ramai kerana dibeli seorang pelayar warga Jerman, Cristoph Swoboda.
Kapal layar jenis Pinis sepanjang 28.4 meter itu adalah kapal kedua ditempah Swoboda selepas Naga Pelangi berikutan terlalu mengagumi kaedah pembuatan tukang tempatan, reka bentuk dan ketahanan kapal layar tradisional Terengganu.
Sentuhan kerja tangan Allahyarham Hassan Che Ali yang mewarisi kemahiran silam itu diluncurkan dan belayar meninggalkan Pulau Duyung pada 2010 dengan terkini difahamkan berada di Pulau Langkawi, Kedah.
Selain Hassan, antara individu lain yang mempunyai penglibatan kecil dalam pembinaan perahu besar asli Terengganu itu ialah Wan Nordin Wan Abdullah, 64.
Wan Nordin berkata, dia bertanggungjawab memasang alat pelayaran di Naga Pelangi 2 dan mengambil masa kira-kira dua bulan untuk menyiapkan tugasan diberikan.
Katanya, walaupun pada masa itu kebanyakan anak jati Pulau Duyung berkepakaran memasang tali temberang, namun tidak ramai yang mahu menggalas kerja tersebut kerana memerlukan ketelitian tinggi.
“Kerja-kerja memasang tali temberang dilakukan secara bersendirian dan saya dibayar kira-kira RM5,000 iaitu upah tertinggi pernah diterima pada masa itu.
“Naga Pelangi 2 adalah kapal layar terakhir di Pulau Duyung dan tiada lagi pembinaan perahu besar asli Terengganu selepas itu,” katanya ketika ditemui di Pusat Kraf Duyung di sini.
Wan Nordin berkata, kapal yang dibeli Swobodo pada masa silamnya adalah pengangkutan dagangan dan penghubung rakyat negeri ini dalam lingkaran wilayah serantau.
Menurut bapa kepada lima anak itu, sehingga kini dia masih terlibat dalam bidang sama dan pernah dipanggil memasang tali temberang bagi tiga kapal yang digunakan dalam siri televisyen, Marco Polo terbitan produksi antarabangsa di Johor pada 2014 dengan mendapat bayaran lumayan mencecah RM100,000.
Wan Nordin juga aktif dalam penghasilan replika perahu dan kapal tradisional serta moden yang sama fungsinya dengan pengangkutan sebenar.
Katanya, sepanjang 35 tahun mengusahakan perniagaan itu hampir 1,000 replika perahu dan kapal berharga antara RM150 hingga RM5,000 telah dihasilkan dengan terbaharu berjaya menjual sebanyak sembilan replika pada akhir tahun lalu di samping sedang menyiapkan satu tempahan perahu besar Pinis. – UTUSAN ONLINE








