KUALA LUMPUR: Melihat kepada suasana industri seni dan hiburan semasa, penulis lirik terkenal, Iman Imran mengaku ada benarnya teguran dibuat pejuang bahasa Melayu, Tan Sri Rais Yatim mengenai lambakan bahasa rojak yang lebih gemar digunakan segelintir pemain industri tanah air.
Katanya, ia turut melibatkan penulisan lirik dan penghasilan karya muzik yang memainkan peranan dalam membentuk nilai komersial pada sesebuah lagu diperdengar kepada umum.
“Saya tidak kata semua, tetapi memang ada yang suka menggunakan bahasa rojak dalam penulisan lirik lagu. Tetapi, pendengar kita juga lebih tertarik dengan muzik menggunakan bahasa slanga atau bahasa campuran. Itu yang dibimbangi kerana ia mengubah pola industri secara keseluruhan dan memberi impak besar terhadap muzik tanah air.
“Penulisan lirik adalah sebahagian daripada budaya. Kita takut ia memberi kesan kepada masyarakat dan secara tidak langsung bahasa kebangsaan ini tidak dihargai dengan baik.
“Apatah lagi sekarang jika dilihat, ramai kalangan anak muda kita yang tidak boleh berbahasa kebangsaan dengan baik,” katanya semalam.
Penggunaan bahasa rojak dalam kalangan pemain industri penyiaran merisaukan segelintir pejuang bahasa Melayu yang khuatir generasi muda lebih selesa dan lupa dengan keindahan bahasa kebangsaan itu.
Malah, isu yang sama pernah diulang suara oleh Rais yang risau rakyat negara ini akan tidak tahu menggunakan bahasa Melayu dengan tepat.
Menurut pemenang Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) menerusi lagu Lelaki Teragung itu, dia bagaimanapun memuji segelintir pengkarya baharu yang berbakat besar dan popular namun masih mengekalkan penggunaan bahasa kebangsaan.
“Muzik rap tempatan juga semakin berkembang dengan karya-karya bahasa Melayu yang bermutu.
“Meskipun dalam arus muzik kontemporari dan moden, tetapi ramai kalangan pengkarya muzik rap membuktikan bahasa kebangsaan dapat dipersembahkan dengan cantik menerusi susunan muzik berentak kemelayuan, sajaknya termasuk pembinaan lirik yang bagus.
“Dalam aspek ini, saya lihat antara karya yang bagus seperti lagu Tujuh Nasihat nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, Kmy Kmo, Luca Sickta, karya Gila nyanyian Kaka Azraff, Noki dan Loca B, Eh nyanyian Zizi Kirana serta beberapa artis lain termasuk Naim Daniel, Yonniboi dan Zaynakal,” katanya. – UTUSAN










