SPRM siasat tanah rizab Melayu - Utusan Malaysia

SPRM siasat tanah rizab Melayu

Hamidah Osman meninjau kawasan Tanah Rizab Melayu yang didakwa dipindah milik kepada bukan Melayu di Sitiawan, baru-baru ini. – MINGGUAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu penyelewengan tanah rizab Melayu berkeluasan 641.6 hektar di Sitiawan, Perak yang didakwa sudah berpindah milik kepada bukan Melayu, kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber SPRM Perak, mereka sudah menerima laporan tersebut daripada polis, dan kini sedang mengarahkan pasukan siasatannya meneliti dan menyiasat kes tersebut.

“Pihak polis sudah memanjangkan kes kepada kami, Kami mengesahkan sudah menerima laporan itu. Ia kini sedang dalam siasatan kami,” kata sumber tersebut kepada Utusan Malaysia semalam.

Mingguan Malaysia pada Ahad lalu mendedahkan satu kes penyelewangan tanah rizab Melayu di mukim Sitiawan, Perak. Pendedahan itu dibuat Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman.

Hamidah mendakwa, ada sindiket membabitkan pegawai kerajaan telah memindah milik tanah rizab Melayu di mukim Sitiawan kepada orang bukan Melayu yang bertentangan dengan Enakmen Tanah Rizab Melayu serta Akta Kanun Tanah Negara 1965.

Katanya, tanah yang dimaksudkan di lot 17527 pada asalnya sebahagian daripada tanah berkeluasan 16,997 ekar yang digazetkan sebagai rizab Melayu pada 1930 dengan nombor warta 488.

“Kemudian pada 1997, seluas 641.6 ekar daripada keseluruhan tanah itu dipajak 99 tahun kepada sebuah syarikat bernama Ladang Mara (M) Berhad. Dalam Borang 11AK Hak Milik Sementara, Kerajaan Negeri letak catatan memorial iaitu ‘Pengisytiharaan Rizab Melayu: Dalam Kawasan Rizab Melayu Sitiawan, Nombor Pemberitaan Warta 488’,” katanya.

Selanjutnya, beliau mendakwa, pada 2005 tanah yang sama didapati berpindah milik kepada sebuah syarikat lain. Namun dakwanya, dalam Borang Hak Milik Sementara yang dikeluarkan Kerajaan Negeri Perak, memorial ‘Pengisytiharaan Rizab Melayu bernombor Warta 488’ didapati hilang.

Tidak berpuas hati dengan perkara itu, pihaknya melalui bantuan sumber dalaman di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Manjung berjaya mendapatkan satu salinan surat yang bertarikh 5 Januari 2011. Dalam surat itu, PDT didapati meluluskan pecah sempadan tanah tersebut kepada 317 lot berbeza, bersaiz 2 hektar setiap lot.

“Amat mengecewakan apabila kami dapati, dalam Borang Pindah Milik Tanah, Bahagian atau Pajakan yang dikeluarkan kerajaan negeri, syarikat yang menjual lot-lot tersebut, pengarahnya ialah orang bukan Melayu. Lebih malang lagi, semua 317 lot itu juga dijual kepada pemilik yang terdiri dari orang bukan Melayu,” katanya.

Susulan itu, pada 24 September 2020, pihaknya membuat satu laporan polis, meminta agar kes ini disiasat.

Sementara itu, di Ipoh, Perak, Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad meminta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri memberi jawapan mengenai dakwaan Hamidah tersebut.

Beliau tidak mahu mengulas dengan alasan mahu memberi tumpuan kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan jumlah kes Covid-19 semakin meningkat di negeri itu.

“Tak apa, yang itu (dakwaaan tanah rizab Melayu dipindah milik) PTG akan jawab,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat anggota barisan hadapan yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Tol Changkat Jering di sini semalam.

Justeru, Utusan Malaysia cuba menghubungi Pengarah PTG Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip semalam namun panggilan tidak berjawab.

Selasa lalu semasa dihubungi Mohamad Fariz berkata, beliau yang konsisten menafikan dakwaan Hamidah memakumkan akan bertemu dengan Menteri Besar sebelum memberi jawapan beserta fakta dan bukti mengenai isu itu.

Mohamad Fariz memaklumkan pertemuan dengan Saarani dijadual berlangsung hari Rabu lalu namun difahamkan pada hari tersebut tidak ada pertemuan kedua-dua individu berkenaan.

Isnin lalu, Mohamad Fariz menyangkal dakwaan isu pindah milik tanah rizab Melayu di negeri itu kepada bukan Melayu.

Beliau menyifatkan dakwaan Hamidah tidak benar dan mahu memberi penjelasan berserta fakta dan bukti dalam masa terdekat.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN