fbpx

Seramik China dan Eropah ditemukan, usaha cari artifak kapal British di Lipis giat dilakukan

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Muzium Pahang dan Jabatan Warisan Negara yang menjalinkan kerjasama memulihara artifak kapal ditemukan baru-baru ini akan mendapatkan maklumat saintifik serta memastikan keseluruhan artifak yang tertinggal berkaitan kapal dapat ditemukan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, sehubungan itu pihak berkenaan akan menjalankan fasa seterusnya iaitu eksvakasi arkeologi di kawasan berkenaan.

“Daripada tinjauan permukaan dijalankan lebih 100 pecahan kayu ditemukan dipercayai sebahagian daripada badan kapal tersebut. Ia berdasarkan morfologi dan jenis kayu serta paku yang terdapat pada jumpaan-jumpaan tersebut.

“Turut ditemukan sejumlah seramik dagangan yang seusia dengan relik kapal itu terdiri daripada seramik China dan eropah di sekitar tapak jumpaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebahagian struktur kapal yang hampir lengkap ditemukan terdampar berhampiran Sungai Lipis setelah berlaku banjir besar pada 14 Januari lalu oleh penduduk kampung setelah banjir surut.

Pihak Jabatan Warisan Negara pada 16 Januari sehingga 18 Januari lalu melawat ke tapak jumpaan sebuah struktur kapal di Kampung Pagar, Mukim Penjom, Lipis.

Seterusnya pada 19 sehingga 24 Januari, kerjasama antara Jabatan Warisan Negara bersama Perbadanan Muzium Negeri Pahang dan bantuan masyarakat kampung menjalankan proses penyelamatan termasuk mendokumentasi, merekodkan dan memelihara artifak yang tinggal untuk ditempatkan di Muzium Warisan Lipis yang kini di dalam pengawasan dan penjagaan oleh Pejabat Daerah Lipis.

Dalam pada itu, Mohd. Sharkar berkata, daripada analisis awal, kapal itu berkemungkinan jenis ‘steam ship’ bersaiz antara 25 meter sehingga 300 meter panjang.

Jelasnya, berdasarkan rekod sejarah kapal tersebut berkemungkinan dapat dikaitkan dengan kegiatan perlombongan emas di Penjom yang beroperasi sejak abad ke-19 lagi di kawasan tersebut.

“Berdasarkan rekod sejarah, terdapat beberapa kapal jenis ‘steam ship’ beroperasi atau melalui di sepanjang sungai Pahang di Kuala Pahang sehingga Sungai Lipis antaranya, SS Amherst yang dilaporkan karam di Kuala Pahang dan kapal Seri Pahang yang dipercayai karam di Paloh Hinai, Pekan.

“Berdasarkan rekod, terdapat sebuah kapal lagi pernah beroperasi di kawasan ini, iaitu SS Senyum yang mana ia beroperasi di bawah syarikat perlombongan emas Penjom, namun tiada rekod ia karam,” katanya. – UTUSAN ONLINE