Seorang maut, dua cedera akibat letupan di kilang - Utusan Malaysia

Seorang maut, dua cedera akibat letupan di kilang

SEORANG pekerja maut serta dua lagi cedera akibat letupan ketika melakukan kerja kimpalan di bahagian bumbung sebuah tangki di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang, Johor. - UTUSAN/ KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Seorang jurukimpal maut manakala dua rakannya cedera selepas berlaku letupan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, di sini hari ini.

Mangsa yang maut ialah Wilson Anak Bangau, 45, manakala Bonsi Anak Buli, 42, serta Muhamad Syafiq Abdul Rahman, 23, pula cedera.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Pauzan Ahmad berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 2.41 petang.

Katanya, letupan itu dipercayai berlaku ketika ketiga-tiga pekerja berkenaan sedang melakukan kerja kimpalan di bahagian bumbung sebuah tangki simpanan yang berketinggian kira-kira 15 meter.

“Akibat letupan itu, dua pekerja terjatuh menyebabkan seorang maut dan seorang lagi mengalami kecederaan patah kaki dan melecur manakala seorang lagi mangsa cedera akibat melecur di muka” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kilang berkenaan hari ini.

Pauzan memberitahu, tangki simpanan berkenaan menyimpan sebanyak 800 tan gliserin mentah.

Katanya, dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan manakala mangsa yang maut diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Punca kematian mangsa bagaimanapun masih dalam siasatan sama ada akibat letupan atau terjatuh daripada tempat tinggi.

“Letupan itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kebakaran terhadap kilang yang memproses produk kelapa sawit berkenaan,” ujarnya.

Jelas Pauzan lagi, anggaran kerugian masih dalam siasatan manakala operasi berkenaan ditamatkan pada pukul 4.26 petang.

Seramai 42 anggota berserta empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang dan Larkin dikejar ke lokasi kejadian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya