Sekeluarga ditahan edar dadah - Utusan Malaysia

Sekeluarga ditahan edar dadah

Gaduh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Bukan seorang tetapi enam ahli keluarga ditahan polis selepas didapati mengedar dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sembulan, Kota Kinabalu, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, enam individu yang ditahan membabitkan pasangan suami isteri, dua anak lelaki dan seorang lagi anak perempuan serta suaminya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata semua suspek adalah warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 66 tahun.

Katanya, ketika ditahan sejumlah dadah jenis syabu seberat 67.80 gram ditemukan yang disembunyikan di bawah pecahan jubin di rumah berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Selain itu, dua yang lain didapati positif dadah manakala, selebihnya negatif,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan seorang lelaki berusia 37 tahun turut ditahan dalam serbuan di kawasan flat perumahan Kampung Sembulan Tengah, dekat sini.

Ujar Habibi, dalam tangkapan kira-kira pukul 7.35 malam tadi, pemeriksaan di kereta Toyota Vios milik suspek menemukan tiga paket syabu seberat 150.36 gram yang disembunyikan di dalam but kenderaan.

“Semakan lanjut ke atas suspek mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau selain negatif hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah dalam dua serbuan berkenaan adalah seberat 218.16 gram yang dianggarkan bernilai RM21,816 berdasarkan harga pasaran semasa,” jelasnya.

Habibi berkata, semua suspek dalam kedua-dua serbuan itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadi dalang kepada sindiket pengedaran dadah di sekitar ibu negeri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika sabit kesalahan,” katanya. -UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN