Rumah rakit jadi perlindungan mangsa banjir Kampung Asli Tewowoh - Utusan Malaysia

Rumah rakit jadi perlindungan mangsa banjir Kampung Asli Tewowoh

RUMAH rakit yang didiami 100 penduduk dalam keadaan bersesak-sesak akibat banjir di rumah mereka di Kampung Asli Tewowoh, Mersing, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hampir 100 penduduk melibatkan 26 keluarga terpaksa bersesak-sesak di dalam sebuah rumah rakit selepas rumah mereka di Kampung Asli Tewowoh, Mersing, dekat sini dinaiki air ketika banjir, minggu lalu.

Mereka tiada pilihan kerana tidak sempat berpindah keluar setelah jambatan di kampung itu roboh disebabkan banjir dan terperangkap di kawasan penempatan tersebut.

Selama hampir seminggu mereka bertarung nyawa di rumah rakit itu yang hanya ditutupi kanvas khemah dan mengalas perut berbekalkan makanan yang sempat dibawa sebelum rumah mereka ditenggalami air setinggi empat meter.

Kisah penduduk itu mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Ihsan Johor untuk membantu sedaya mampu bagi meringankan beban mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ihsan Johor, Farrah Faridah Baptist berkata, sehingga kini penduduk itu berdepan masalah terputus bekalan makanan kerana jambatan ke kampung berkenaan belum boleh digunakan.

Katanya, dia bersama wakil NGO yang terlibat sama menaiki bot selama 15 minit dari Jeti Tewowoh menuju ke kampung terbabit bagi meninjau keadaan mereka selain menyampaikan sumbangan.

“Apa yang mereka lalui ini amat menyayat hati dan mencabar. Ada masa rumah rakit itu terumbang-ambing kerana arus sungai yang menjadi deras.

“Dalam keadaan itu, mereka terpaksa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) membendung penularan Covid-19 kerana itu sahaja peluang untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada pemberita hari ini.

Farrah berkata, Ihsan Johor menyampaikan sumbangan bantuan makanan dan keperluan berupa dua set makanan kering, set kelengkapan tidur (tilam, bantal dan selimut) serta satu karton air mineral kepada setiap keluarga mangsa banjir.

Beliau berkata, pihaknya merancang mencari dana membina empat buah rumah rakit untuk kegunaan penduduk yang majoriti golongan nelayan.

“Kami akan datang lagi minggu depan untuk menyampaikan sumbangan kepada mereka selain merancang membina rumah rakit buat mereka.

“Kami lihat tapaknya sudah ada, jadi kami perlukan dana membina struktur rumah rakit itu seperti 100 biji tong air sebagai pelampung, lima kanvas khemah dan peralatan yang lain,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menyumbang bantuan kewangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Pertubuhan Ihsan Johor bernombor 551203527725 atau menghubungi Farrah di talian 012-2538091 untuk sumbangan berupa peralatan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya