PETALING JAYA: Bantuan pakej Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion tidak akan menyebabkan negara bankrap walaupun diakui ia akan memberi kesan kepada kewangan negara yang masih dalam fasa pemulihan.
Dekan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Mohd. Noor berpendapat, suntikan pakej Permai itu amat diperlukan bagi mengelakkan ekonomi negara tiba-tiba merudum akibat Perintan Kawalan Pergerakan (PKP).
“Tidak dinafikan pakej ini akan memberi kesan kepada kewangan negara, tetapi ia tidaklah sampai ke tahap kebankrapan setelah kerajaan memperuntukkan RM322.5 bilion menerusi Belanjawan 2021.
“Kalau kerajaan tidak menyuntik dengan pakej baharu, ekonomi tidak akan sihat dan aktif, kitaran ekonomi perlu digerakkan dan pastinya kerajaan akan dapat pulangan semula walaupun akan mengambil masa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej Permai bernilai RM15 bilion yang bermatlamat memerangi Covid-19, memelihara kesejahteraan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.
Sebanyak 22 inisiatif diumumkan, sebagai tambahan kepada Belanjawan 2021 dan pakej-pakej rangsangan lain yang diumumkan sebelum ini bagi memacu pertumbuhan ekonomi rakyat dan negara.
Bagi Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon, beliau berpendapat negara tidak akan bankrap selagi wang bantuan disampaikan sepenuhnya kepada golongan memerlukan.

“Negara takkan bankrap begitu sahaja, saya percaya kerajaan sudah buat perkiraan dan bertanggungjawab terhadap segala dana yang diperuntukkan.
“Justeru, kerajaan diminta untuk menambah lagi peruntukan sedia ada, percepatkan lagi bantuan yang perlu didahulukan dan memastikan tiada ketirisan dalam peruntukan tersebut,” katanya. -UTUSAN







