PETALING JAYA: Kerajaan perlu menghapuskan semua kerenah dan syarat yang remeh serta terlalu ketat jika benar-benar mahu membantu pemandu pengangkutan awam menerusi pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan kelmarin.
Presiden Persatuan Pakatan Pemandu Berhemah Malaysia, Nor Aizam Abd. Kadir berkata, semua ahlinya menyambut baik bantuan tersebut namun sedikit kecewa apabila ada tapisan dibuat Kementerian Pengangkutan.
“Tapisan itu agak menyulitkan dan ramai yang terkeluar daripada senarai untuk mendapatkan bantuan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan Permai berjumlah RM15 bilion antara lain melonggarkan syarat pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan dan kegunaan persendirian teksi daripada minimum pemilikan kenderaan selama tujuh hingga lima tahun sehingga 31 Disember ini.
Menurut Nor Aizam, sewajarnya kerajaan memberi bantuan tersebut kepada semua ahli persatuan yang mana kira-kira 45 peratus daripadanya tidak layak menerima bantuan tersebut.
“Pemandu bas pelancong yang tersenarai buat masa ini adalah lebih kurang 45,000 orang dan tidak semua layak untuk mendapat bantuan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM), Kamarudin Mohd. Hussain turut berharap tiada kerenah birokrasi oleh syarikat jaminan pinjaman perniagaan bagi mereka menikmati penstrukturan semula pinjaman moratorium 12 bulan dan pembayaran balik bulanan lebih rendah selepas jaminan Muhyiddin.
“Ini berdasarkan pengalaman lepas, kerenah birokrasi institusi perbankan dan syarikat pemberi pinjaman adalah punca pemohonan pemandu teksi ditolak.
“Kami harap dengan adanya jaminan daripada kerajaan, institusi perbankan dan syarikat pemberi pinjaman tidak mengamalkan birokrasi yang melampau.
Mengulas pemberian one-off RM500 kepada pemandu pengangkutan awam, Kamarudin berkata, ia dapat membantu meringankan beban dihadapi kumpulan itu yang kehilangan pendapatan akibat pandemik Covid-19. – UTUSAN ONLINE










