PETALING JAYA: Hari pertama Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula semalam menyerlahkan macam-macam gelagat yang kesimpulannya menunjukkan masih ramai ibu bapa dan pelajar tidak bersedia untuk belajar secara dalam talian.
Masalah PdPR tersebut banyak melibatkan murid di sekolah rendah kerana kumpulan umur 12 tahun dan ke bawah tidak ramai boleh menguruskan diri sendiri apa lagi mengikut arahan belajar secara maya.
Susulan itu, hari pertama pembelajaran murid Tahun 1 hingga 6 semalam diwarnai banyak ragam dengan ibu bapa kepada murid-murid berkenaan `kalut’ kerana tidak mahir atau kurang mahir untuk membantu anak menyertai PdPR.
Bagaimanapun, bagi pelajar di sekolah menengah, sesi persekolahan tersebut tidak banyak kerenah kerana ramai dalam kalangan mereka mampu mengurus diri sendiri dan boleh menerima arahan guru. Jika ada masalah dalam kalangan pelajar sekolah menengah, ia banyak membabit isu capaian internet dan tiada peranti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, PdPR sudah dipraktikkan sejak tahun lepas namun hakikatnya masih ramai ibu bapa mahupun pelajar yang tidak mahu menerima pembelajaran norma baharu tersebut.
“Anjakan pembelajaran berlaku dengan drastik menyebabkan ramai ibu bapa, pelajar dan mungkin segelintir guru berasa susah menerima cara pembelajaran baharu.
“Kumpulan tersebut hanya mahukan pembelajaran secara bersemuka yang dianggap jauh lebih berkesan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurut beliau, bayangkan sudah 60 tahun sekolah sudah biasa dengan murid belajar secara fizikal dan secara tiba-tiba kerajaan mahu memaksa pelajar menerima perubahan sekelip mata.
“Perubahan yang perlu dilakukan pula belum ada sistem yang sempurna dan menyeluruh. Ambil contoh capaian internet di sesetengah kawasan di Sarawak, Sabah, Perlis dan Kelantan, apakah sudah ada internet memuaskan? dan adakah setiap pelajar mempunyai peranti.
“Rakyat Malaysia tidak semua kaya jadi macam mana ibu bapa mahu menyediakan peranti untuk digunakan semasa PdPR,” katanya.
Justeru, kata Mohd. Azizee, tidak hairan jika sesi persekolahan kali ini berlaku kekalutan kerana tidak semua pihak bersedia selain kelengkapan ke arah itu juga belum memuaskan.
Bagaimanapun, kata beliau, melihat kepada trend pandemik Covid-19, guru-guru, murid dan ibu bapa sama ada suka atau tidak mereka terpaksa membiasakan diri dengan PdPR.
“Rakyat Malaysia tiada pilihan jika kita berterusan menolak perubahan, anak-anak akan tercicir yang akhirnya negara tidak ada pelapis baharu pemimpin,” katanya.
Selain itu, tambahnya, semua pihak harus memastikan murid-murid tidak hilang minat belajar selain memastikan murid Tahun Satu boleh menguasai 3M iaitu kemahiran membaca, mengira dan menulis.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan pula berpandangan, jika benar lebih banyak kekalutan berbanding `ketenangan’ pada sesi PdPR semalam ia bukan alasan untuk semua pihak berputus asa.
“Guru, ibu bapa dan murid harus memahirkan diri dengan pendekatan PdPR. Semua benda sudah tentu perlu melalui proses pembelajaran begitu juga PdPR,” kata beliau.
Menurut Mohamad Ali, apa yang penting pihak ibu bapa dan guru harus `jalan seiring’ memimpin murid-murid ke arah pembelajaran maya.
“Kami percaya dalam tempoh dua atau setahun ini, PdPR akan mampu dikuasai oleh murid-murid dan guru,” katanya.
Bagaimanapun, jelasnya, bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan perlu melihat kepada infrastruktur ke arah melancarkan sistem pendidikan baharu itu berjalan lancar.
“Maknanya tiada guna jika ibu bapa dan guru sudah bersedia menerima PdPR tetapi masalah seperti internet dan pemilikan peranti diabaikan,” katanya.
Semalam, seramai 4.5 juta murid di seluruh negara memulakan sesi PdPR manakala 400,445 calon bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memulakan sesi persekolahan dengan guru.
Turut diberi peluang belajar secara bersemuka ialah pelajar Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM).
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Ir. Dr. Mohd. Rizal Arshad pula berkata, PdPR hanya dapat dijalankan dengan lancar jika isu capaian internet dapat ditangani dengan segera terutamanya di kawasan pedalaman.
“Kalau pasang internet dan ada peranti di rumah sekalipun tidak berguna jika tidak mempunyai capaian dan akses internet yang baik untuk meneruskan pembelajaran secara maya,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan pusat pembelajaran diperkenalkan di setiap kampung di kawasan pedalaman tanpa perlu bergantung kepada capaian internet di rumah.
“Di kawasan-kawasan pedalaman seperti Baling dan Gerik misalnya tidak mempunyai capaian internet yang baik jadi perkara ini perlu ditambah baik bagi memastikan murid-murid sekolah tahun ini tidak menjadi golongan yang tercicir pelajaran,” katanya. – UTUSAN











