DIKEHENDAKI - Utusan Malaysia

DIKEHENDAKI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Terlibat kes bunuh, mengedar dadah beratus-ratus kilogram, merekrut pengganas dalam perjuangan al-Qaeda, kes berkaitan 1MDB dan penculikan.

Demikian antara contoh kesalahan yang dilakukan individu dikehendaki pihak berkuasa Malaysia menerusi Polis Antarabangsa (Interpol) yang mengeluarkan ‘red notice’ atau notis merah.

Ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low turut tersenarai dalam notis merah yang sebelum ini dipertikaikan kerana namanya tiada dalam senarai Interpol.

Nama bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar antara rakyat negara ini disenaraikan sebagai orang dikehendaki pihak berkuasa Malaysia menerusi notis merah tersebut.

Permohonan notis merah terhadap bekas koperal di Unit Tindakan Khas (UTK) itu dikemukakan PDRM selepas suspek gagal hadir ke Mahkamah Persekutuan bagi perbicaraan kes bunuh model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pada 2014 kerana berada di Australia.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, turut berada dalam senarai notis merah Interpol ialah Michael Soosai kerana terlibat memalsukan dokumen sijil kematian bagi mengelakkan prosiding kes pemerasan dan tipu pada 2003.

Katanya, Halimah Hussein juga termasuk dalam notis tersebut atas kesalahan di bawah Seksyen 109 dan 130G(a) Kanun Keseksaan kerana merekrut dan membantu pengganas Yazid Sufaat dalam perjuangan dengan al-Qaeda.

“Selain mereka, nama lain yang disenaraikan di dalam notis merah iaitu Lim Han Choo yang dikehendaki kerana mengedar sebanyak 750 kilogram methamphetamine,” katanya di sini semalam.

Abdul Hamid berkata, PDRM turut menyenaraikan 12 warga asing di bawah notis merah termasuk empat suspek warga Korea Utara yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Selain mereka, terdapat tiga individu lain terdiri daripada Vanhole Thierry yang merupakan warga Belgium, Cristianu Andrei (Romania) dan Collin John (United Kingdom) yang menghilangkan diri selepas terlibat kes pembunuhan warga Ireland di Pulau Pinang.

STADLEN PAUL GEOFFREY

“Ada juga seorang lagi lelaki United Kingdom iaitu Stadlen Paul Geoffrey yang disiasat atas kesalahan Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Suspek yang merupakan pengarah kepada Sackville Associates Incorporation and National Communication dicari kerana terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Empat lagi individu lain yang disenaraikan di dalam notis merah oleh PDRM iaitu warganegara Filipina, Muktadil Khadafi dan Soe Ye Kyaqw (Myamnar) yang mana masing-masing terlibat jenayah culik serta Selvachcandran Sinniah Ganesh berasal dari Jerman yang terlibat dalam pemerdangangan rakyat Sri Lanka dan Pyae Aung Htet (Myanmar) merupakan suspek utama dalam kes pembunuhan,” jelasnya.

Mengulas lebih lanjut, Abdul Hamid memberitahu, tujuan notis merah dikemukakan adalah untuk mengesan orang dikehendaki yang dipercayai berada di luar negara untuk pelaksanaan tangkapan bagi tujuan ekstradisi, penyerahan atau tindakan lain.

Kata beliau, permohonan hanya dibuat melalui National Central Bureau (NCB) negara pemohon ke ibu pejabat Interpol di Lyon ke atas suspek yang dikehendaki.

“Seterusnya, pihak interpol akan mengkaji dan meluluskan permohonan tersebut sekiranya memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Antara kriteria termasuk waran tangkap yang disertakan termasuk butir-butir peribadi suspek, fakta kes dan lain-lain yang difikirkan perlu,” jelasnya.

Tambah Abdul Hamid, permohonan hendaklah bebas daripada empat perkara seperti yang termaktub dalam Artikel 3 Perlembagaan Interpol yang mana seseorang itu bebas pengaruh politik, unsur-unsur keagamaan, pengaruh bangsa atau kaum dan unsur ketenteraan.

“Atas sebab-sebab berkenaan permohonan notis merah yang dikeluarkan kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan pendakwah bebas, Dr. Zakir Naik pada 2018 dan 2019 ditolak Interpol.

“Sekiranya suspek yang dikehendaki dikesan berada di mana-mana negara, proses permohonan ekstradisi hendaklah dimajukan oleh negara pemohon.

“Di sini, walaupun notis merah telah diterbitkan, namun persetujuan untuk melaksanakan proses penyerahan suspek yang dikehendaki itu masih tertakluk secara keseluruhannya ke atas negara di mana suspek tersebut dikesan,” katanya.

Kata Abdul Hamid, mengambil contoh kes Sirul, kerajaan mempunyai triti ekstradisi dengan Australia, namun negara tidak bersetuju untuk menyerahkan bekas anggota polis itu atas dasar kemanusiaan.

Sementara itu Abdul Hamid menambah, sepanjang 2016 sehingga tahun lalu, sebanyak 2,973 notis merah telah dikeluarkan oleh Interpol.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 478 notis merah, Malaysia berada dalam kategori sebagai ‘country likely to be visited’,” jelasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN