Mercun RM80,000 untuk Tahun Baharu Cina dirampas - Utusan Malaysia

Mercun RM80,000 untuk Tahun Baharu Cina dirampas

MUHD. Zailani Abdullah menunjukkan sebahagian daripada mercun bernilai RM80,000 yang dirampas PPM Wilayah Dua menerusi Op Benteng-Covid Landai, di Taman Skudai Indah, Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM80,000 menerusi Op Benteng-Covid Landai di sebuah rumah di Taman Skudai Indah 2, di sini semalam.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, dalam serbuan pada pukul 4.30 petang itu, pihaknya turut menahan pemilik rumah iaitu seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun.

Katanya, mercun berkenaan dipercayai sebagai bekalan bagi memenuhi permintaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

“Dalam operasi berkenaan, kami menerima panggilan orang awam berhubung aktiviti penyimpanan mercun sebelum bertindak menyerbu lokasi berkenaan sebelum menemukan 43 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun di dalam sebuah lori serta 17 kotak lagi di bahagian garaj.

“Kesemua mercun dan bunga api yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM80,000. Lori yang digunakan untuk menyimpan barangan itu turut disita dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM160,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Muhd. Zailani, kes disiasat di bawah Akta Bahan Letupan 1959 yang jika disabit bersalah, boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Kata beliau, PPM Wilayah Dua terus menjalankan operasi bagi mengekang aktiviti jenayah dan pelanggaran undang-undang termasuklah ketika musim perayaan.

“Operasi bersepadu bersama pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah dijalankan secara berterusan.

“Sehubungan itu, masyarakat diseru sama-sama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membenteras sebarang bentuk jenayah terutamanya melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam,” ujarnya.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada PPM Wilayah Dua menerusi talian 07-2372221. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.