Kerajaan pertimbang lanjut operasi kedai makan - Utusan Malaysia

Kerajaan pertimbang lanjut operasi kedai makan

MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kerajaan mempertimbang melanjutkan operasi kedai makan sehingga pukul 10 malam bagi negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berbanding perlu ditutup pada pukul 8 malam ketika ini. 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia susulan rayuan pihak persatuan serta pengusaha premis makanan ekoran prosedur operasi standard (SOP) semasa yang dikuatkuasakan kerajaan. 

Menurut beliau, perkara berkenaan akan dibawa ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain sudah merujuk cadangan tersebut kepada Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kita akan mempertimbangkan rayuan mereka tertakluk kepada nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) kerana kerajaan memahami keperluan mereka untuk meneruskan perniagaan kerana kita sedia maklum sebahagian besar sektor ini baharu hendak mencerdaskan aktiviti ekonomi masing-masing. 

“Tetapi situasi semasa dengan gelombang ketiga ini, KKM menasihatkan kita supaya kurangkan pergerakan walaupun ada desakan untuk mẹmbuat total lockdown,” katanya selepas bergotong-royong membersihkan Balai Raya Kampung Tembioh yang merupakan sebahagian Program Misi Bantuan Banjir MITI dan Misi 2021 di sini hari ini. 

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Pengerusi Penggerak Komuniti Negara (PKN) Johor, Datuk Mohd. Rashid Hasnon.

Sebelum ini, terdapat desakan pengusaha restoran dan kedai makanan serta penjaja yang menyuarakan kebimbangan setelah masa operasi perniagaan dipendekkan sehingga 8 malam.

Pada 12 Januari lalu, Ismail Sabri mengumumkan, aktiviti  di restoran, kedai, gerai, kenderaan saji (food truck) dan penjaja tepi jalan di negeri terbabit PKP dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 8 malam.

Kebenaran itu turut diberikan kepada penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan di tepi jalan, kios, kedai runcit serta kedai serbaneka.

Ditanya mengenai bila keputusan rayuan itu akan dibuat, Azmin berkata, kerajaan akan mempertimbangkan berdasarkan situasi kesihatan dalam beberapa hari yang akan datang. 

“Kita bermesyuarat dan bersidang setiap hari dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah membentangkan laporan semasa Covid-19 serta apa langkah yang perlu diambil,” katanya.

Dalam pada itu, Azmin berkata, kerajaan terpaksa menyediakan insentif dan bantuan khas kepada sektor ekonomi terjejas sekiranya PKP berlanjutan lebih dua minggu.

“Insentif dan bantuan khas ini juga sedang diteliti dan dibincangkan kepada Kementerian Kewangan bagi memastikan sektor ekonomi negara tidak lumpuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.