Isu tanah rizab Melayu: PTG jumpa MB hari ini - Utusan Malaysia

Isu tanah rizab Melayu: PTG jumpa MB hari ini

HAMIDAH Osman (tengah) ketika meninjau kawasan Tanah Rizab Melayu yang dipindah milik kepada bukan Melayu di Sitiawan baru-baru ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak akan mendapatkan kebenaran Menteri Besar sebelum menjawab secara fakta mengenai dakwaan seluas 641.6 hektar tanah rizab Melayu telah dipindah milik kepada bukan Melayu.

Pengarah PTG Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, pihaknya akan bertemu dengan Menteri Besar hari ini untuk mendapatkan kebenaran tersebut.

“Kami sudah bersedia menunjukkan bukti-bukti kepada Menteri Besar bagi menyangkal dakwaan berkenaan dan akan memberikan maklum balas perundangan mengenai tuduhan berkenaan selepas itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mohamad Fariz konsisten dengan kenyataan beliau sebelum ini bahawa tiada tanah rizab Melayu telah dipindah milik kepada bukan Melayu.

Kenyataan beliau itu sekali gus menolak tuduhan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman yang disiarkan akhbar ini sebelum ini.

Menurut Mohamad Fariz, tanah rizab Melayu yang dimaksudkan Hamidah itu tidak dibatalkan dan jika ia berlaku, sudah tentu perkara itu akan diselidiki.

“Yang penting tanah rizab Melayu tak batal, boleh rujuk Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem),” katanya.

Mohamad Fariz turut kesal terhadap dakwaan yang turut mengaitkan kejadian itu dengan penyelewengan sindiket yang dituduh didalangi pegawai kerajaan.

“Saya percaya pegawai kerajaan tidak tergamak ke arah itu (sindiket),” kata beliau.

Mengenai dakwaan Hamidah PTG gagal memberikan bukti bagi menafikan dakwaannya semasa menemuinya, Mohamad Fariz berkata, pihak PTG hanya memberikan maklumat yang berkaitan sahaja.

“Ini kerana saya tak mahu seolah-olah beliau (Hamidah) hanya mahukan maklumat untuk kepentingan beliau,” katanya.

Terdahulu, Hamidah mendakwa seluas 641.6 hektar tanah rizab Melayu di Perak didakwa telah dipindah milik kepada bukan Melayu akibat penyelewengan sindiket yang didakwa didalangi oleh pegawai kerajaan.

Sindiket itu dikatakan menyasarkan tanah di Sitiawan yang digazetkan sebagai tanah rizab Melayu pada 1990. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN