PETALING JAYA: Ramai ibu bapa mengeluh berikutan kos data bagi anak-anak menyertai kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) mahal sekali gus menyebabkan kos sara hidup golongan tersebut bertambah.
Mereka mengeluh bukan hanya sebab data Internet 1Gigabait (GB) subsidi kerajaan tidak cukuptetapi berdepan kelembapan dengan Internet percuma tersebut.
Data 1GB tersebut hanya mencukupi untuk memuat turun program penstriman video berdurasi 20 minit. Macam mana untuk pelajar atau murid yang perlu menyertai PdPR lebih tiga jam sehari dengan lima hari seminggu?
Perlu diingat PdPR tahun ini memerlukan murid dan pelajar memuat naik turun nota-nota dan ada juga membabitkan buku teks selain disuruh menonton video di YouTube.
Berkongsi dengan Utusan Malaysia, ibu kepada lima orang anak, Hazwani Aziz, 34, berkata, empat anaknya yang mengikuti PdPR menyebabkan dia terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk membeli pakej Internet.
“Jika sebelum ini saya hanya menggunakan hotspot telefon mudah alih saya yang cukup untuk sebulan, kini saya perlu membayar untuk pakej yang bernilai kira-kira RM90 sebulan bagi memastikan anak-anak dapat menyertai sesi pembelajaran di rumah.
“Mungkin RM90 murah untuk orang lain tetapi untuk keluarga yang berpendapatan sederhana ataupun rendah seperti keluarga saya, ia adalah kos tambahan yang sebelum ini boleh digunakan untuk membeli barang keperluan asas lain,” keluhnya yang tinggal di Setapak dekat sini.
Beberapa syarikat telekomunikasi sebelum ini menyediakan perkhidmatan Internet berkapasiti 1GB percuma untuk semua pengguna dari jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari.
Perkhidmatan tersebut diumumkan menerusi Pelan Pemulihan Ekonomi (ERP) Jangka Pendek yang membolehkan pengguna mengakses secara percuma tanpa had laman web kerajaan dan aplikasi Covid-19 kerajaan khususnya MySejahtera dan ia boleh dinikmati hingga 31 Disember tahun lalu.
Pada tahun ini pula, kerajaan mengumumkan pemberian data 1GB percuma kepada orang ramai termasuk bagi tujuan pendidikan bermula bulan ini hingga April ini menerusi Pakej Bantuan Pelindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).
Senada dengan Hazwani ialah Desrani Arif, 34, yang berkata, penambahan pembelian pakej tambahan bukan satu-satunya isu, tapi lebih mengecewakan kelajuan Internet 1GB percuma tidak berbaloi dengan liputan sangat lemah di kawasan perumahannya.
“Saya ada tiga anak yang perlu bersekolah secara atas talian dan amat mengecewakan apabila 1GB itu bukan sahaja tidak cukup malah sangat perlahan. Situasi ini memaksa saya membeli pakej Internet lebih mahal berbanding bayaran bulanan saya sebelum ini,” katanya yang berasal dari Kundang di Rawang semalam.
Kata Desrani lagi, beliau tidak ada masalah menambah duit membeli pakej Internet lebih mahal demi pembelajaran anak-anak, tetapi yang mengecewakan apabila terdapat caj tersembunyi dikenakan telekomunikasi yang tidak jujur.
“Syarikat-syarikat telco sekarang banyak mempromosikan kononnya pakej terbaik dan termurah tetapi akhirnya macam-macam caj kita kena bayar untuk menikmati Internet berkelajuan tinggi,” jelasnya yang tinggal di Kundang, Rawang.
Katanya, bagi keluarga ada lebih seorang anak yang mengikuti PdPR, pakej data 15GB tidak mencukupi untuk penggunaan sebulan kerana mereka sesi PdPR tahun ini panjang dan memerlukan pelajar memuat turun banyak dokumen.
Sementara itu, Perunding Teknologi Maklumat, Ridzman Azzahari berkata, inisiatif kerajaan menyediakan subsidi Internet 1GB sebenarnya cukup untuk menampung kelas atas talian asalkan tidak melibatkan aktiviti muat turut yang banyak.
“Inisiatif ini hanyalah sebagai usaha kerajaan merancakkan pembelajaran dan pengajaran secara atas talian dan sudah tentu perlu disesuaikan mengikut keadaan,” katanya.
Dalam pada itu,Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Farizal Razalli berkata, orang ramai harus faham bahawa kelajuan Internet kadangkala dipengaruhi jenis peranti yang digunakan.
“Terdapat dua perkara yang menyumbang kepada kelajuan Internet iaitu teknologi jalur lebar dan teknologi peranti.
“Selain masalah capaian Internet di beberapa kawasan, jenis peranti yang digunakan memainkan peranan. Sekiranya, peranti itu mempunyai teknologi yang terbaharu, maka capaian Internetnya tentu lebih laju,” jelas beliau. – UTUSAN










