Hayati sikap pemimpin berkorban kepentingan demi kebaikan

Hayati sikap pemimpin berkorban kepentingan demi kebaikan – Mufti Wilayah

LUQMAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Warga Wilayah Persekutuan diseru agar mencontohi sikap terpuji pemimpin negara yang sanggup mengorbankan hak dan kepentingan mereka demi kebaikan bersama.

Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Luqman Abdullah berkata, ia selaras sambutan ulang tahun Hari Wilayah Persekutuan ke-47 esok yang terhasil daripada semangat kerjasama tinggi.

“Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) justeru mengajak masyarakat bersama-sama menghayati semula sejarah penubuhan wilayah ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau turut mengimbas kembali catatan peristiwa pada 1974 apabila Sultan Selangor ketika itu, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sendiri menitahkan perkenan baginda.

Ia sebagai langkah untuk penyerahan sebahagian wilayah Selangor kepada pihak kerajaan persekutuan yang kemudian diangkat menjadi pusat pentadbiran dan ibu negara Malaysia.

“Jelas sekali, semangat kerjasama dan nilai pengorbanan yang tinggi dizahirkan oleh Sultan Selangor mendatangkan pelbagai manfaat dan kebaikan kepada rakyat dan negara,” katanya.

Luqman seterusnya mengambil peluang itu dengan mengaitkan sejarah tersebut dalam usaha kita memutuskan rantaian wabak Covid-19 melalui pematuhan prosedur operasi standard.

Malahan, beliau mengajak kita bersama mengerah keringat dan tenaga bagi membantu pihak kerajaan terutama dengan mengambil langkah berjaga-jaga seperti yang telah pun ditetapkan.

“Bagi umat Islam, hayatilah semula firman Allah SWT dalam ayat dua surah al-Maidah apabila orang beriman diarahkan agar bersikap saling membantu dalam urusan kebaikan,” tegasnya.

Selain itu, beliau juga memetik hadith daripada sabda Rasulullah SAW bahawa perumpamaan orang mukmin dengan mukmin lain ibarat binaan saling mengukuhkan antara satu sama lain.

Justeru, Luqman menambah, bertepatan Dasar Manhaj Rabbani diperkenalkan kerajaan, maka jadikanlah usaha memutuskan rantaian Covid-19 sebagai bentuk ibadah diredai Allah.

“Slogan Wilayah Persekutuan, Wilayah Prihatin yang diangkat sebagai tema sambutan pada kali ini, sewajarnyalah dihayati secara mendalam oleh semua pihak terlibat,” jelas beliau lagi.

Usaha itu ujar beliau, bagi menyuburkan nilai keprihatinan terhadap krisis serius melanda negara serta memupuk semangat kerjasama antara satu sama lain dalam mengharunginya.

Bahkan beliau berharap, dengan penghayatan untuk sambutan pada kali ini, kita akan berjaya membendung penularan wabak secara efisien dan meletakkan negara di kedudukan terbaik.

PMWP merupakan sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sejak 1998 hasil penstrukturan semula daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya