Felda mahu terus miskinkan peneroka? - Utusan Malaysia

Felda mahu terus miskinkan peneroka?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Selain tanah kebun, saham FGV Holdings Berhad (FGV) yang dimiliki warga pene­roka Felda adalah aset berharga mereka yang perlu dipertahankan dan tidak seharusnya dijual kepada mana-mana pihak.

Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Saifuddin Abdullah berkata, adalah tidak wajar apabila Felda menawarkan pembelian saham FGV dimiliki peneroka dengan harga RM1.30 per unit.

“Alasan tawaran itu, sebahagian usaha Felda mengambil alih FGV dan menyusun semula perniagaan Felda. Ini suatu yang pelik dan bertentangan dengan arahan sebelum ini yang me­minta peneroka supaya mempertahankan saham FGV.

“Kenapa Felda tumpu saham dimiliki peneroka yang tidak seberapa ini? Felda seharusnya menumpukan usaha membeli saham lebih besar yang dimiliki kerajaan negeri dan syarikat milik kerajaan (GLC).

“Saham FGV tersebut adalah aset milik peneroka, tindakan itu seolah-olah seperti usaha untuk terus memiskinkan lagi warga peneroka,” dakwanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, daripada maklum balas diterimanya, peneroka yang rata-ratanya warga emas tidak faham tentang pembelian saham itu.

“Felda seharusnya memberikan penjelasan lanjut, kenapa peneroka juga perlu terlibat dalam pengambilalihan saham FGV oleh Felda? Jangan hanya jelasnya kepada kelompok ter­tentu sahaja, perlu libatkan ke­seluruhan warga peneroka.

“Tanpa penjelasan, Felda te­rus buat keputusan minta, pujuk, rayu dan desak supaya peneroka jual saham FGV mereka. Ini tidak adil, Felda seharusnya beri penjelasan awal dan jangan tergesa-gesa. Selepas itu, ambil keputusan berdasarkan majoriti,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Bumiputera Felda (DPBF), Mohd. Mokhtar Ghazali berkata, beliau kecewa dan sedih kerana Felda seharusnya mempertahankan saham dimiliki peneroka.

Jelasnya, pemikiran pengurusan Felda ketika ini adalah terkebelakang seolah-olah langkah strategik untuk memiskinkan peneroka tanah rancangan itu.

“Apa kaitan hendak ambil alih Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) daripada FGV dengan meminta peneroka, kakitangannya jual saham FGV mereka?

“Saham peneroka mesti dikekalkan sebagaimana arahan Felda sebelum ni supaya jangan jual saham FGV. Saya menyeru saham-saham yang dimiliki peneroka tidak dijual kepada Felda,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN