GEORGETOWN: Seramai 32 individu termasuk warga emas ditinggalkan di sebuah rumah jagaan persendirian di Jalan York, di sini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu dengan ahli keluarga mereka terutama anak kandung dikatakan langsung tidak bertanyakan khabar atau datang menjenguk sehingga ke hari ini.
Hampir sebilangan besar waris warga emas berusia 60 hingga 80-an itu juga didakwa tidak pernah menghulurkan wang penjagaan bulanan bagi pembiayaan perubatan, pembelian lampin pakai buang serta makanan.
Kehadiran Utusan Malaysia di pusat jagaan yang diusahakan dua beranak, P. Jaya, 55, bersama anak sulungnya, M. Gogilavani, 34, sejak 23 tahun lalu itu mendapati hampir majoriti warga emas yang ditinggalkan di situ mengalami masalah kesihatan.
Jaya yang juga bekas kakitangan dietitik di sebuah hospital kerajaan berkata, dia menggalas tanggungjawab besar dalam menjaga warga emas yang ditinggalkan tanpa sebarang perkhabaran atau pertemuan dengan seorang ahli keluarga sejak pelaksanaan PKP Mac lalu.
Katanya, pelbagai pendekatan dilakukan bagi menghubungi ahli keluarga terlibat namun panggilan atau mesej tidak dibalas mereka.
“Masing-masing mempunyai latar belakang berbeza. Ada yang dibawa oleh agensi kerajaan berkaitan ke sini setelah tiada waris datang menjemput di hospital ketika dibenarkan keluar wad, dibawa sendiri oleh anak atau saudara-mara dan ada ditemukan tidur di tepi jalan.
“Memang kami menerima sesiapa sahaja warga emas yang ditinggalkan keluarga tanpa menerima sebarang perbelanjaan bulanan. Namun disebabkan terdapat pertambahan bilangan penghuni sejak PKP lalu, kami terpaksa menolak kemasukan baharu buat sementara,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Operasi pusat jagaan warga emas yang baru berpindah di sebuah rumah lot di Jalan York pada tahun lalu itu diusahakan Jaya dan Gogilavani menggunakan wang simpanan keluarga.
Cerita ibu kepada enam cahaya mata itu, pengalaman menjaga seorang warga emas lelaki berbangsa Melayu berusia 50-an sejak tiga bulan lalu mengajarnya erti kehidupan dan nilai kasih sayang sebenar.
“Pak cik itu dibawa dengan ambulans dari sebuah hospital kerajaan ke sini dengan ditemani saudaranya. Bekas pesara kerajaan itu dimasukkan ke hospital dipercayai selepas terlibat kemalangan jalan raya sehingga mengakibatkan kaki kanannya patah.
“Seingat saya, hanya seorang anak perempuannya ada datang pada hari pertama dan ketiga bapanya berada di sini. Wanita itu tidak lagi datang menjenguk pada hari seterusnya sehinggalah ke hari ini,” dakwanya.
Katanya, pihaknya jsangat mengalu-alukan bantuan kewangan daripada individu terutama pihak kerajaan negeri bagi membiayai sewa bulanan rumah berkenaan yang tertunggak selama dua bulan atau membantu melunaskan pembayaran gaji empat pekerja.
Sumbangan lampin pakai buang, sarung tangan, tisu basah, sabun pembersih badan dan keperluan makanan harian juga amat diperlukan. Sebarang bantuan atau sumbangan boleh menghubungi Gogilavani di talian 010-287 7656. – UTUSAN ONLINE










