Dipenjara lagi gara-gara memiliki parang tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

Dipenjara lagi gara-gara memiliki parang tanpa kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gara-gara memiliki dua bilah parang di tempat awam tanpa kebenaran, seorang bekas banduan yang `keluar masuk’ penjara, dihukum lagi selama lima tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan itu.

Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid memerintahkan hukuman terhadap Foo Tuck Oon, 53, berkuat kuasa daripada tarikh tangkapan pada 31 Disember lalu.  Lelaki itu terlepas hukuman sebatan kerana berusia melebihi 50 tahun.

Sebelum hukuman dijatuhkan, lelaki itu memberitahu dia sudah lima kali dipenjarakan kerana kesalahan bergaduh selepas Emelia Kaswati bertanya mengenai rekod jenayah lampaunya.

Penganggur berkenaan didakwa memiliki senjata berbahaya di tempat awam iaitu sebilah parang panjang dan sebilah parang pendek tanpa kebenaran yang sah di Jalan Seri Sentosa, Off Jalan Klang Lama, Brickfields, di sini, pukul 10.20 pagi pada 31 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara maksimum sepuluh tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Fakta kes menyebut, pada hari kejadian seorang anggota polis yang sedang melakukan rondaan bermotosikal di kawasan tersebut telah melihat seorang lelaki (tertuduh) dalam keadaan mencurigakan sedang berjalan di bahu jalan sambil membawa sebilah parang panjang.

Polis yang menahan dan memeriksanya mendapati, selain membawa parang panjang, dia memiliki sebilah lagi parang pendek yang diselit di bahagian pinggangnya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh mengambil kira kepentingan awam selain kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman penjara singkat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya