Dilema kontraktor berdepan harga barang binaan naik
MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB/pix
[email protected]
ARAU: Selepas berbulan-bulan menghentikan kerja-kerja pembinaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, kini kontraktor di negeri ini bukan sahaja berdepan PKP kali kedua tetapi harga barang binaan pula naik sehingga mencecah 30 peratus.
Kumpulan sektor tersebut baru mahu menarik nafas lega kerana mendapat permintaan membina rumah tetapi lain pula kerenahnya apabila harga barang binaan melambung.
Dilema kontraktor binaan tersebut dirasai sejak November tahun lalu selepas harga barangan asas pembinaan khususnya besi yang semakin mahal dan berterusan sehingga hari ini.
Selain itu, kontraktor juga mendakwa mereka sukar mendapatkan sesetengah jenis barang binaan berikutan kekurangan stok di kedai-kedai.
Difahamkan, pembekalan barangan binaan dari kilang kepada kedai-kedai terbabit bergantung kepada kuota dan perkara itu dikatakan tidak pernah berlaku sebelum ini.
Kontraktor bina rumah kebiasaannya mendapat keuntungan sekitar 30 peratus daripada setiap kerja binaan, namun apabila barang naik bagaimana mereka boleh mendapatkan keuntungan?
Malah ada sesetengah kontrak yang diperoleh, kontraktor terpaksa menanggung kerugian kerana pelanggan enggan menambah kos belian barang yang sudah naik.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, seorang kontraktor berpengalaman 10 tahun dalam kerja-kerja membina rumah, Hazrol Hafiz Hashim,35, berkata, sebagai contoh, harga sebatang besi jika sebelum ini hanya RM20 sudah naik kepada RM28.
Selain itu, katanya, harga simen, pasir, paip, bumbung dan lain-lain turut menunjukkan peningkatan sejak beberapa bulan lalu.
“Sudahlah harga barang naik, sesetengah barangan pula kadangkala tidak ada selain harga sering tidak konsisten yang memberi kesan kepada kontraktor.
“Apabila sudah menyediakan sebut harga kepada pelanggan, tiba-tiba harga barangan naik menyebabkan kami kerugian. Sudah beri sebut harga, sudah tidak boleh ubah dan kerja-kerja pembinaan mesti diteruskan,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.
Hazrol memaklumkan, permintaan membina rumah semakin tinggi tetapi disebabkan masalah tersebut sukar baginya mendapatkan keuntungan.
Kata beliau, dia tidak tahu punca harga naik dan berharap kerajaan mencari jalan dalam menyelesaikan masalah tersebut.
“Sekarang ini sukar untuk mendapatkan kontrak daripada jabatan-jabatan kerajaan sebaliknya daripada individu semakin ramai,” katanya yang membina rumah sekitar 10 hingga 15 buah dalam tempoh setahun.
Berikutan masalah tersebut, ada dalam kalangan rakan-rakannya terpaksa berhenti sementara kerana bimbang terpaksa menanggung risiko kerugian.
“Untuk membina sebuah rumah, kita perlu mengeluarkan modal sendiri dahulu sehingga ratusan ribu ringgit bergantung kepada jenis rumah. Hendak untung pun dalam 30 peratus, namun apabila harga barangan naik, sangat memberi kesanlah kepada kami,” katanya.- UTUSAN











