PETALING JAYA: Tidak dapat membeli bekalan dadah sintetik, penagih kini beralih kepada ganja terutama bagi individu yang terjejas kehidupan akibat pandemik Covid-19 kerana harganya lebih murah.
Trend tersebut terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Bukit Aman mengesan berlaku peningkatan tangkapan membabitkan kesalahan berkaitan ganja dan menanam ganja di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952, bermula tahun 2019.
“Tangkapan meningkat 150 peratus apabila sebanyak 35 orang ditahan tahun lalu kerana menanam pokok ganja berbanding 14 orang diberkas pada 2019,” kata Pengarah JSJN, Datuk Razarudin Husain kepada Mingguan Malaysia.
Katanya, bagi kesalahan menanam ganja, individu terbabit boleh didakwa yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup dan disebat minimum enam kali sebatan.
Razarudin berkata, kawalan ketat sempadan negara berikutan penularan Covid-19 menyebabkan aktiviti penyeludupan dan pengedaran semua jenis dadah melalui pintu-pintu sempadan merosot.
Bagaimanapun, kata beliau, apa yang membimbangkan sekarang apabila JSJN mengesan wujudnya laman dagang elektronik (e-dagang) di pasaran gelap atau dikenali sebagai dark web yang dijadikan platform aktiviti pengedaran dadah termasuk pokok dan benih ganja terus dilakukan dengan mudah dibolosi ke negara ini.
“Trend menanam dan menyalahgunakan ganja membimbangkan apabila menunjukkan peningkatan bermula 2019.
“Minat ke arah penyalahgunaan ganja dikaitkan dengan kesan pengambilannya didakwa memberi kesan lebih khayal kemudian membolehkan mereka melakukan interaksi sosial lebih lancar,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, JSJN agak sukar membanteras dark web kerana platform tersebut dicipta secara sulit untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Terdapat sesetengah individu sanggup membeli benih atau pokok ganja melalui dark web sebelum mereka menanam pokok ini untuk mendapatkan pendapatan lumayan.
“Laman-laman web ini turut menawarkan produk-produk haram lain termasuk pelbagai jenis dadah untuk memenuhi pasaran dunia,” katanya.
Razarudin memberitahu, sepanjang tahun lalu, seramai 146,045 orang ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dan jumlah ini menurun sebanyak 17 peratus berbanding tahun sebelumnya apabila merekodkan seramai 175,038 individu diberkas.
Bagaimanapun katanya, peningkatan tangkapan dikesan di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu membabitkan kesalahan pokok ganja.
Kata beliau, terdapat beberapa laman sesawang popular turut dikesan menjalankan penjualan dan pembelian dadah termasuk ganja secara terbuka secara dalam talian.
“Pada April dan Mei tahun lalu, JSJN melancarkan ‘Op Slayer’ yang mana kita tahan 17 orang kerana membeli dan mengedar dadah menerusi laman sesawang selain merampas sebanyak 215 cecair mengandungi dadah bernilai RM58,400,” katanya. – UTUSAN ONLINE










