CPI jatuh, rakyat perlu bertanggungjawab - Utusan Malaysia

CPI jatuh, rakyat perlu bertanggungjawab

JAIS ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rakyat tidak boleh berdiam diri berhubung kedudukan Malaysia yang jatuh ke tangga 57 pada tahun lalu berbanding 51 tahun sebelumnya dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), sebaliknya perlu menjadi mata dan telinga kepada kerajaan.

Rakyat juga harus bertanggungjawab ke atas punca kejatuhan negara dalam CPI akibat tindakan mereka yang terus berdiam diri walaupun menyedari kedudukan Malaysia di tangga 57 daripada 180 bukan satu perkara yang diharus dibanggakan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kerajaan juga mesti melakukan penambahbaikan segera bagi meneutralisasikan persepsi pelabur dan masyarakat dunia terutama berkaitan dana parti politik.

Malah, katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dibebaskan daripada tekanan politik, bertanggungjawab secara terus kepada Yang di-Pertuan Agong melalui Parlimen selain meminta anggota pentadbiran yang bersih untuk snetiasa tampil bagi melaporkan kes meibatkan rakan sejawat.

“Kita terlalu banyak bercakap tanpa buat tindakan dan pelaksanaan yang perlu. Segala sistem dan alatan yang mampu mencegah rasuah yang terbukti terkesan di barat dan selari dengan ajaran agama perlu dilaksanakan segera tanpa sebarang alasan.

“Ketua jabatan atau unit yang terpalit rasuah mesti diberi hukuman berat manakala konsep kepemimpinan melalui teladan mesti diterapkan semula.

“Saya yakin bahawa persepsi ini dapat dibaiki dengan iltizam yang tinggi dan tepat terutama daripada kerajaan dan kerjasama semua pemegang taruh,” katanya.

Khamis lalu, Malaysia jatuh ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam CPI Transparency International (TI) 2020 dengan skor menurun dua mata kepada 51 daripada 100 mata berbanding tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, kerajaan menegaskan dasar dan komitmen dalam memerangi rasuah bagi meningkatkan tadbir urus kerajaan adalah jelas serta berterusan walaupun skor dan kedudukan CPI negara merosot.

Dalam pada itu, kata Jais, apa yang penting sekarang adalah menggunakan pendekatan advokasi awam dan menggerakkan lebih banyak persatuan bukan kerajaan (NGO) untuk menyedarkan masyarakat tentang bahana rasuah.

“Ia sangat penting dan kritikal tetapi bergantung kepada usaha dalam menanam nilai murni terhadap rakyat keseluruhannya. Usaha ini juga memerlukan keterlibatan meluas masyarakat.

“Jika kita dapat menggerakkan masyarakat dan komuniti dengan laju, maka hasilnya tetap laju,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×