KUALA LUMPUR: Bapa kandung adalah penyumbang tertinggi kejadian sumbang mahram yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh tiga tahun lalu sejak 2018 dengan 225 kes.
Dalam tempoh sama, bapa tiri dicatatkan sebanyak 188 kes diikuti bapa saudara 159 kes dan abang kandung 90 kes.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, ekonomi keluarga tidak stabil ditambah dengan keadaan rumah sempit menjadi antara punca utama berlaku kejadian jelek tersebut.

“Rumah kumpulan sederhana terutama tidak ada bilik mencukupi tetapi ahli keluarga ramai biasanya akan berlaku ‘percampuran’ lelaki dan perempuan yang akhirnya menyumbang ke arah berlaku sumbang mahram,” kata beliau ketika di wawancara secara dalam talian dengan Utusan Malaysia kelmarin.
Menurut beliau, dalam tempoh tersebut juga, sebanyak 426 pelaku yang ditahan membabitkan mereka yang tidak berkerja dengan tahun lalu sebanyak 128 orang ditahan.
Selain penganggur, kata beliau, pelaku sumbang mahram turut membabitkan dalam kalangan mereka yang berniaga sendiri iaitu 155 kes diikuti buruh (61 kes), penuntut (47 kes) pemandu atau kelindan (45 kes) dan pengawal (26 kes).
Tidak terlepas, ada juga penjawat awam iaitu 11 kes dan pekerja swasta (12 kes).
Siti Kamsiah memberitahu, mangsa-mangsa pula paling ramai melibatkan pelajar iaitu 590 kes, diikuti tidak bekerja 106 kes dan mangsa bekerja sebagai jurujual atau pembantu kedai sebanyak 24 kes.
Mengulas lanjut, kata beliau, ibu bapa seharusnya lebih berhati-hati meskipun anak-anak berada di rumah sendiri.
Ini kerana, kata beliau, berdasarkan rekod PDRM mendapati, sebanyak 765 kes sumbang mahram dalam tempoh tersebut berlaku di rumah atau kediaman sendiri.
“Sebanyak 60 kes lagi melibatkan kejadian di hotel iaitu 11 kes, diikuti, kawasan awam (4), dalam kenderaan (5), tempat sunyi (17) dan lain-lain tempat tidak diketahui (23).
“Bagi menangani perkara ini, kita buat pelbagai kempen dan program. Kita minta ibu bapa mengambil berat dengan pantau keadaan anak-anak meskipun mereka berada di rumah,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, jelas Siti Kamsiah, pelaku sumbang mahram dalam kalangan berketurunan Melayu merekodkan jumlah tertinggi iaitu 596 orang diberkas dalam tempoh sama diikuti lain-lain bangsa termasuk warga asing (210 orang) selain India (36) dan Cina (26).
Utusan Malaysia semalam mendedahkan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan hanya menyekat aktiviti seharian tetapi juga membongkarkan jenayah sumbang mahram.
Ini berikutan, ramai ahli keluarga berkumpul di rumah semasa tempoh PKP memberi peluang mereka menyedari perubahan sikap mangsa seterusnya mendorong kanak-kanak itu membuat aduan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana menjadi bahan ‘pemuas nafsu’ kepada ahli keluarga sendiri
Lebih mengejutkan, kebanyakan kes yang dilaporkan pertama kalinya berlaku lima hingga enam tahun sebelum itu.
Sepanjang tahun lalu, sebanyak 259 kes dilaporkan membabitkan kes sumbang mahram di seluruh negara. Secara puratanya, sepanjang pelaksanaan PKP pada Mac lalu, jenayah sumbang mahram menunjukkan penurunan.
Namun, ada beberapa negeri kes sumbang mahram menunjukkan sedikit peningkatan mungkin kerana ramai mangsa mula berani tampil membuat laporan selepas mereka mula terbuka cerita kepada ahli keluarga ketika pelaksanaan PKP. – UTUSAN










