Bapa Bob Lokman didenda RM4,000 rosak harta masjid, ugut - Utusan Malaysia

Bapa Bob Lokman didenda RM4,000 rosak harta masjid, ugut

LOKMAN Ahmad didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bapa kepada pelakon, pelawak dan penulis lirik, Bob Lokman didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengugut dan merosakkan harta Masjid Tok Kenali pada November lalu.

Lokman Ahmad, 83, yang berkerusi roda ketika hadir ke mahkamah dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Izuddin Mohd. Shukri.

Pertuduhan pertama, dia didakwa mengeluarkan kata-kata ugutan untuk menetak dan menembak Muhammad Hafiz Hukmi Wardi, 32, sehingga mendatangkan ketakutan kepada mangsa.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, dia didakwa merosakkan harta masjid dengan memecahkan pasu dan memotong pokok bunga sehingga menyebabkan kerugian lebih RM150 kerana terlalu marahkan Muhammad Hafiz Hukmi.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tempoh  satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di Masjid Tok Kenali, Jalan Wakaf Stan dekat Kubang Kerian, di sini kira-kira pukul 11 pagi pada 21 November tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Murtadza Mohd. Mokhtar.

Terdahulu, Sharifah Amirda Shasha memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat manakala Mohd. Murtadza dalam rayuannya meminta mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara kerana faktor usia tertuduh.

“Dengan membuat pengakuan bersalah, ini membantu mempercepatkan urusan semua pihak. Saya merayu agar tertuduh tidak dikenakan hukuman penjara atas faktor penularan wabak Covid-19 di negara ini,” kata Mohd. Murtadza.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda RM4,000 atau  penjara 12 bulan jika gagal membayar denda bagi kedua-dua pertuduhan itu. Tertuduh membayar denda tersebut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya