2021: Tahun R&D Kementerian Pertahanan - Utusan Malaysia

2021: Tahun R&D Kementerian Pertahanan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan akan memberi lebih banyak tumpuan untuk meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi tahun ini.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha itu akan terarah kepada pembangunan keupayaan tempatan dalam pembuatan aset dan peralatan.

Beliau berkata, antara tumpuan R&D adalah merangkumi pembangunan sistem pengawasan bawah permukaan untuk pertahanan maritim, pembangunan sistem radar pertahanan dan pembangunan smart fabric serta pembangunan sistem tanpa pemandu bagi platform darat, udara dan maritim.

“Sebanyak RM26.3 juta telah diperuntukkan kepada Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride) bagi memperkasa program R&D serta memberikan sokongan khidmat teknikal dan nasihat kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan industri pertahanan tempatan.

“Pelbagai usaha juga telah dijalankan semenjak tahun 2020 bagi memastikan penyaluran dana yang lebih besar bagi tujuan R&D pada tahun ini,” katanya ketika berucap sempena Majlis Amanat Tahun Baru 2021.

Belanjawan 2021 menyaksikan peruntukan pertahanan meningkat sebanyak 1.8 peratus iaitu RM15.86 bilion, merangkumi Perbelanjaan Mengurus (OE) dan Perbelanjaan Pembangunan (DE).

Kenaikan ketara dapat dilihat adalah peruntukan DE iaitu sebanyak RM4.5 bilion iaitu meningkat sebanyak RM1.42 bilion atau 46.1 peratus berbanding sebelum ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menambah, elemen R&D pertahanan juga akan menjadi fokus dalam rundingan program offset dan Industrial Collaboration Program (ICP) kontrak-kontrak perolehan Kementerian Pertahanan yang memenuhi syarat pelaksanaan.

“Maka, adalah menjadi harapan saya agar kesemua inisiatif ini dilaksanakan dengan jayanya melalui kerjasama erat kesemua bahagian dan agensi di bawah kementerian.

Beliau turut mengumumkan, terdapat lapan kem tentera baharu akan dibina melalui Belanjawan 2021 iaitu empat di Semenanjung (Johor, Perak dan Kedah) dan dua masing-masing di Sabah dan Sarawak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya