Wanita Kelantan paling suka `berhias' - Utusan Malaysia

Wanita Kelantan paling suka `berhias’

Wanita Kelantan didakwa paling suka membeli produk kecantikan untuk sentiasa kelihatan cantik. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Wanita Kelantan dalam usia belasan dan bawah 30 tahun tidak kisah berhabis duit antara RM300 hingga RM600 sebulan bagi membeli produk kecantikan dan penjagaan diri dari hujung rambut hingga ke hujung kaki agar mereka sentiasa dilihat cantik.

Bagi yang berusia 30 tahun ke atas, kumpulan ini perlu menambah perbelanjaan lebih RM600 sebulan untuk membeli lebih banyak produk demi mengekalkan keayuan dan menjaga kesihatan.

Minat wanita negeri Cik Siti Wan Kembang untuk tampil cantik membuatkan negeri itu menjadi tumpuan pengusaha kosmetik memasarkan produk masing-masing.

Pengusaha tempatan mengakui Kelantan adalah negeri tertinggi mendapat permintaan terhadap produk kecantikan diikuti Johor dan Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, wanita atau gadis Kelantan tidak bersetuju jika mereka yang didakwa `kuat berhias’ cenderung menjadi `perampas’ suami orang atau untuk menjerat lelaki kaya.

Pegawai media sosial, Nurul Shazwani Omar, 24, berkata, walaupun wanita negeri ini dilabel `kuat berhias’ tetapi kos dibelanjakan untuk kelihatan cantik dianggap masih rendah kerana mereka memilih produk tempatan.

“Secara purata saya berbelanja sekitar RM600 sebulan untuk membeli pelbagai kosmetik jenama tempatan kegemaran saya termasuk saya kerap mencuba produk syarikat rakan-rakan sendiri,” katanya.

Anak jati Kota Bharu itu berkata, sifat suka bersolek adalah perkara biasa bagi wanita dan tidak harus dikaitkan dengan cubaan `menjerat’ lelaki.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang dan model sambilan, Nik Aireen Yasmin Nik Azman, 20, pula berkata, dia memperuntukkan RM200 hingga RM300 sebulan membeli produk kecantikan dan penjagaan diri.

“Saya suka kelihatan kemas dan ayu tetapi tidak simpan niat apa-apa. Bersolek dan pakai cantik-cantik tidak semestinya ada motif,” ujarnya yang berasal dari Machang.

Sementara itu, pengusaha kafe di Ketereh, Nuraikha Sharipul Bahari, 27, berkata, mempunyai pendapatan sendiri membantu dia menampung kos perbelanjaan bulanan membeli kosmetik tanpa menyusahkan suami.

Katanya, setakat ini RM400 hingga RM500 sebulan diperuntukan bagi membiayai pembelian alat solek saya.

Peniaga, Vivi Sumanti Che Ahmad, 43, pula berkata, dia dari muda gemar bersolek dan ketika usia semakin bertambah, dia mengakui perlu membeli barang penjagaan diri lebih berkualiti termasuk makanan tambahan untuk kekal `menawan’ dan cergas.

“Sebulan mungkin dalam RM600 tetapi tidak cecah RM800 saya berhabis beli produk kecantikan dan makanan kesihatan,” katanya yang tinggal di Jalan Dato Lundang di sini.

Wanita beranak lima itu berkata, suaminya bukan sahaja tidak kisah dengan cara dia menjaga kecantikan malah menggalakkan dia berbuat demikian.

Dalam pada itu, ibu tunggal dari Kota Jembal, Kamisah Azid, 49, mengakui wanita negeri ini memang gemar untuk kelihatan cantik.

“Kita cuba untuk dilihat berseri walaupun usia sudah masuk 40-an. Untuk terus tampil berseri sudah tentu kita akan membeli produk kecantikan dan penjagaan yang sesuai dengan usia kita,” katanya yang mencari rezeki dengan berniaga pelbagai jenis barangan.

Jelasnya, setiap bulan dia berbelanja RM500 hingga RM700 untuk membeli produk kosmetik bersesuaian dengannya manakala lima anak perempuannya turut mewarisi sifat semula jadi dirinya yang suka `berhias’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN