fbpx

24 Jun 2021, 10:40 am

  TERKINI

Tiang sudah pacak, bekalan elektrik belum ada

BAH Hek Bah Gunung menunjukkan kotak suis utama yang dipasang di rumah penduduk namun bekalan elektriK belum dibekalkan di Tapah, Perak. - UTUSAN/ ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Bekalan elektrik yang sepatutnya dinikmati kira-kira 200 penduduk masyarakat Orang Asli di tiga buah perkampungan di Pos Gedung, dekat sini belum disalurkan walaupun tiang elektrik sudah siap dipacak sejak empat tahun lalu.

Tiga kampung berkenaan di bawah Parlimen Tapah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungkai iaitu Kampung Bagak, Berindu serta Kampung Kelat.

Malah, tiang elektrik dan sistem pendawaian daripada kotak suis utama telah disambung ke beberapa buah rumah penduduk oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), tetapi tiada bekalan elektrik.

Difahamkan, projek bekalan elektrik luar bandar tersebut menerusi peruntukan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah dimulakan secara berperingkat-peringkat dan siap pada April lalu.

Sekolah Kebangsaan Pos Gedung yang terletak di kawasan perkampungan itu pula menerima bekalan elektrik menerusi panel solar.

Wakil penduduk, Bah Hek Bah Gunung, 56, berkata, situasi tersebut menyukarkan kehidupan harian masyarakat Orang Asli di kampung itu apabila terpaksa hidup tanpa bekalan elektrik.

Katanya, tiang elektrik bagi sambungan bekalan ke perkampungan berkenaan sudah siap dibina tetapi dia dan penduduk lain tidak tahu mengapa projek tersebut tergendala sehingga kini.

“Tiang sudah ada sampai ke rumah tetapi hanya ada meter sedangkan bekalan elektrik tiada. Semasa pilihan raya, kami dijanjikan perkara ini selesai tetapi habis sahaja kempen keadaan kami kembali seperti sedia kala.

“Penduduk terpaksa menggunakan mesin janakuasa pada waktu malam dengan anggaran kos sebanyak RM5 hingga RM8 sehari, ini pun jika digunakan secara berjimat. Secara purata kami membelanjakan RM200 bagi membeli minyak diesel untuk generator,” katanya ketika ditemui di perkampungan tersebut, baru-baru ini.

Menurut Bah Gunung, penduduk kampung yang rata-ratanya bergantung hidup dengan menorah getah, mencari rotan, buluh dan menjual hasil hutan hanya hidup cukup-cukup makan tetapi mereka terpaksa berbelanja semata-mata inginkan bekalan elektrik.

“Bayangkan, kalau di bandar orang yang bil elektriknya mencecah RM200 sebulan pun sudah merungut apatah lagi kami masyarakat Orang Asli yang tidak punyai pilihan.

“Bekalan elektrik daripada janakuasa pula hanya untuk menerangi rumah kerana kami tiada perkakasan elektrik lain. Memang penduduk amat mengharapkan bekalan elektrik tetapi kami tak tahu nak mengadu pada siapa,” keluhnya. – UTUSAN ONLINE