Thailand rekod kes jangkitan tertinggi - Utusan Malaysia

Thailand rekod kes jangkitan tertinggi

PETUGAS perubatan melakukan ujian Covid-19 terhadap penduduk di pasar makanan laut di Samut Sakhon, Thailand. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Thailand merekodkan lebih 500 kes jangkitan Covid-19 semalam, sekali gus mencatatkan peningkatan harian tertinggi di negara ini sejak penularan wabak itu pada Januari lalu.

Kesemua kes tersebut dikaitkan dengan penjual udang berusia 67 tahun di sebuah pasar di Samut Sakhon, dekat sini.

Kluster itu menyaksikan sebanyak 548 kes dilaporkan setakat ini.

Ketua pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Dr. Opas Karnkawinpong berkata, sejumlah 1,192 orang menjalani ujian saringan Covid-19 di Samut Sakhon dan 516 didapati positif.

“Kebanyakan pesakit baharu melibatkan pekerja asing dan mereka tidak mempunyai gejala.

“Mereka yang ada mengunjungi pasar udang tersebut bermula 1 Disember juga perlu menjalani kuarantin kendiri,” katanya.

Opas juga mengumumkan Samut Sakhon dikenakan kawalan pergerakan separa mulai hari ini sehingga 3 Januari 2021.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk Samut Sakhon tersebut supaya tidak melakukan perjalanan tidak penting selain sekolah dan universiti di wilayah ini ditutup sementara waktu.

Sejak pandemik Covid-19 melanda Thailand, kenaikan harian tertinggi yang direkodkan sebelum ini adalah sebanyak 188 kes pada 22 Mac lalu.

Terdahulu, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissnuyothin berkata, seorang wanita berusia 67 tahun yang menjual udang di pasar dan tidak pernah ke luar negara disahkan positif pada 16 Disember lalu.

Susulan pengesanan kontak, ibu wanita itu berusia 95 tahun, kakak berusia 73 tahun, adik ipar wanita berumur 57 tahun serta lima pekerja tempatan dan asing turut diuji positif. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN