Terengganu sasar 5.5 juta pengunjung 2021 - Utusan Malaysia

Terengganu sasar 5.5 juta pengunjung 2021

ARIFFIN DERAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Kerajaan negeri menyasarkan kemasukan seramai 5.5 juta pengunjung ke Terengganu pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, sasaran itu boleh dicapai jika situasi pandemik Covid-19 di Malaysia selesai sebelum pertengahan tahun 2021.

“Sekiranya situasi Covid-19 masih belum pulih menjelang Jun tahun depan maka kita akan menurunkan angka sasaran kepada 5 juta pengunjung sehingga akhir 2021.

“Tahun ini kita berjaya melepasi sasaran 4.7 juta pelancong yang ditetapkan walaupun berdepan cabaran hebat semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila aktiviti di pulau-pulau peranginan yang sepatutnya beroperasi rancak pada Mac hingga Jun lalu tidak dapat diteruskan seperti lazimnya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun, Ariffin yakin jumlah kemasukan pengunjung ke Terengganu akan kembali rancak selepas sekatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri termasuk di Lembah Klang ditamatkan.

Beliau yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Malaysia Tourism Heroes baru-baru ini berkata, pihaknya akan memanfaatkan sebaik mungkin peruntukan RM4.5 juta dalam Belanjawan Terengganu 2021 untuk memperkasakan sektor pelancongan pada tahun depan.

Dalam pada itu, katanya, industri pelancongan di Tasik Kenyir masih perlahan berikutan impak PKPB di Lembah Klang dan penganjuran pertandingan memancing Asean Monsoon Casting Tournament (AMCT) tidak lama lagi diharap dapat memberi sedikit perubahan kepada keadaan tersebut.

“Kita sudah bermesyuarat dan setakat ini program tradisi tahunan buat kaki pancing itu akan diteruskan namun terhad kepada peserta tempatan berbanding penyertaan lalu yang melibatkan peserta antarabangsa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN