Syor tubuh konsortium import daging: Khuatir timbul masalah baharu - Utusan Malaysia

Syor tubuh konsortium import daging: Khuatir timbul masalah baharu

KERATAN akhbar Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cadangan penubuhan sebuah konsortium bagi mengendalikan proses mengimport daging ke negara ini sangat baik, namun dikhuatiri bakal mewujudkan masalah baharu iaitu monopoli yang bakal menjejaskan para pengimport sedia ada.

Meskipun tidak dinafikan kaedah itu dapat menjamin soal kehalalan produk, natijah yang lebih besar perlu difikirkan adalah berkemungkinan dasar terbabit hanya menguntungkan satu-satu pihak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar ekonomi dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, kaedah melantik pengimport tunggal sama seperti peranan yang dimainkan Padiberas Nasional (Bernas), hanyalah langkah penyelesaian jangka masa pendek.

Beliau berkata, selain menjejaskan konsep pasaran terbuka, lebih merisaukan adalah impaknya kepada pemain industri yang tidak bersalah sehingga boleh membawa ‘gulung tikar’.

“Perniagaan import ini memerlukan modal dan kepakaran yang besar. Syarikat sedia ada ini pastinya telah ada akses kepada semua itu.

“Saya tak nafikan cadangan penubuhan konsortium itu bagus tetapi apa yang lebih merisaukan ia bertukar jadi monopoli. Syarikat sedia ada pastinya akan terjejas dan lagipun ia bukanlah kaedah relevan untuk jangka masa panjang.

“Boleh untuk lantik syarikat tunggal untuk tujuan import tetapi urusan lain seperti pengedaran, logistik dan sebagainya perlu dibahagikan dengan pihak lain. Barulah tak jadi monopoli hanya satu pihak dapat kekayaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesan kerajaan menubuhkan sebuah konsortium bagi mengendalikan proses mengimport daging ke negara ini secara telus dan paling penting diyakini halal.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, ia sekali gus dapat menghalang kegiatan kartel pengimportan menggunakan logo Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) palsu.

Dalam pada itu, bercakap mengenai cadangan jangka masa panjang, Nuradli Ridzwan Shah menambah, sudah tiba masanya agensi berkaitan keselamatan makanan memperkasa kaedah penternakan tempatan untuk menampung permintaan tinggi dalam negara.

Jelasnya, berdasarkan permintaan daging halal yang sentiasa meningkat, lebihan penawaran tidak akan berlaku seandainya wujud pelaburan berskala besar dalam industri berkenaan.

“Dilema orang yang berniaga ialah bila barang ada tapi tak boleh jual. Dalam soal daging halal ini permintaan tinggi sehingga kita terpaksa import, jadi saya tak nampak kenapa kerajaan tidak boleh melabur untuk menggalakkan penternakan.

“Apabila sumber secara tempatan, maka lebih mudah untuk kerajaan kawal soal halal, kualiti dan sebagainya. Ini satu yang perlu difikirkan sebagai langkah penyelesaian masa panjang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN