Suami isteri maut kereta bertembung MPV - Utusan Malaysia

Suami isteri maut kereta bertembung MPV

SEORANG duda menemui ajal selepas terjatuh dari tingkat sembilan dalam kejadian di Blok D PPR Krubong, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Sepasang suami isteri maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipercayai hilang kawalan di Kilometer 329 Jalan Raub-Tersang di sini hari ini.

Mangsa yang maut dalam kejadian itu pemandu kereta Perodua Myvi, Azizan Ismail, 60, dan penumpangnya, Che Norzihan Mohd. Nor, 51.

Ketua Polis daerah, Superintenden Kama Azural Mohamed berkata, kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi itu berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Tersang ke bandar ini.

“Apabila sampai di tempat kejadian sebuah MPV jenis Perodua Alza dari arah Raub dipercayai hilang kawalan selepas tayar sebelah kiri tergelincir di bahu jalan sebelum bertembung dengan kereta dinaiki mangsa.

“Akibat kejadian dua mangsa dalam Perodua Myvi meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Kama Azural, pemandu dan seorang penumpang Perodua Alza patah kaki manakala seorang lagi penumpang yang merupakan seorang jururawat tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih giat dilakukan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal keadaan permukaan jalan adalah rata dan kering dalam keadaan cuaca yang baik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN