KUALA LUMPUR: Hadir dengan single baharu, Sinar Selawat, Fattah Amin menterjemahkan kebahagiaan yang menghuni sudut hatinya selepas bergelar bapa kepada seorang puteri menerusi lagu tersebut.
Fattah berkata, karya yang menyimpan makna tersendiri itu direalisasikan menerusi kerjasama kedua dengan komposer terkenal, Hafiz Hamidun serta penulis lirik prolifik, Ahmad Fedtri Yahya.
“Sinar Selawat menterjemahkan suara hati dan perasaan bersyukur saya apabila dikurniakan Allah SWT dengan anugerah terindah dalam hidup iaitu zuriat.
“Seperti pasangan lain, saya dan isteri juga mendambakan kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap kehidupan rumah tangga kami berdua. Alhamdulillah, penantian dan doa kami selama ini terjawab dengan kehadiran Nur Fatima Aisya pada 2 Oktober lalu.
“Momen itu terlalu bermakna dan menjadi kenangan paling manis buat saya serta isteri. Kemanisan itu lebih dirasai apabila kehadiran permata hati saya itu turut diraikan dengan iringan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW,” katanya.
Malah Fattah mengakui, projek istimewa kedua sempena kelahiran anak sulungnya itu begitu dekat dengan hatinya. Sepanjang proses rakaman berlangsung, hatinya begitu tersentuh dengan bait indah lirik yang digarap kemas Ahmad Fedtri.
“Sebagai penulis lirik berpengalaman, Ahmad Fedtri begitu memahami, malah berjaya menyelami segala yang terpendam dan terbuku di sudut hati saya ketika menempuh perjalanan untuk menjadi seorang bapa.
“Dia juga berjaya menterjemahkan perasaan bertuah dan terharu saya apabila diberikan Allah SWT peluang berharga untuk menikmati setiap momen istimewa yang mengubah seluruh kehidupan saya sejak kelahiran Nur Fatima Aisya,” katanya.