KLUANG : Seorang anggota polis bantuan diburu selepas dipercayai melesapkan RM5,750 milik penduduk Kampung Orang Asli Pengkalan Tereh, Jalan Mersing di sini Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, sebanyak 15 laporan polis dibuat mangsa terperdaya dengan tawaran suspek yang didakwa menganjurkan program pendaftaran lesen memandu motosikal secara berkelompok.
“Pada tarikh 21 hingga 23 Oktober lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang telah menerima 15 laporan polis melibatkan mangsa orang asli yang ditawarkan satu program pendaftaran lesen memandu motosikal berkelompok.
“Kebanyakan mangsa ada yang telah membayar wang secara tunai sebanyak RM350 dan ada juga yang membayar RM50 kepada suspek dikenali sebagai Mohd. Fahmi Julani.
“Suspek mengenakan harga RM350 untuk setiap seorang dan melibatkan jumlah kerugian RM5,750. Hasil semakan ke atas satu pusat memandu di daerah Kluang mendapati nama kesemua mangsa tidak di daftarkan untuk program tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, tindakan mengesan suspek dijalankan dan namanya telah direkodkan sebagai orang yang dikehendaki.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun dan juga dikenakan sebat dan denda.
“Pihak Polis Kluang mohon kerjasama dari orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan suspek boleh menghubungi terus talian 077766822,” katanya. – UTUSAN ONLINE