SEREMBAN: Selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat kenyataan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan sebaik pandemik Covid-19 berakhir, perlumbaan untuk menjadi calon bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen semakin panas.
Antara yang hangat diperkatakan ialah parti mana paling layak dan juga nama-nama besar yang berminat untuk bertanding di satu-satu kawasan misalnya di Parlimen Rembau.
Ia ekoran Ketua UMNO Bahagiannya, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO berminat ke Dewan Rakyat selepas empat penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau.
Menariknya, kerusi Rembau disandang Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau.
Persoalannya, di manakah Khairy yang juga bekas calon Presiden UMNO bakal bertanding pada PRU-15?
Sebaik sahaja Mohamad yang mesra dipanggil Tok Mat memberitahu mahu bertanding di Rembau, tidak ada sebarang kenyataan dikeluarkan Khairy sama ada mahu mempertahan kerusi atau memberi laluan melainkan ‘akan berbincang secara adik beradik dengan Tok Mat’ dalam hal itu.
Menurut sumber, sehingga kini tidak ada sebarang gerakan di kem Khairy untuk kekal dan mempertahan kerusi tersebut yang seperti memberi isyarat bekas Ketua Pemuda UMNO itu mahu memberi laluan kepada Tok Mat.
“Kem Khairy nampak senyap, tiada sebarang gerakan yang menunjukkan beliau mahu kekal di Rembau. Jika tidak sudah tentu Khairy kini bekerja kuat untuk memperkukuh pengaruhnya di situ.
“Mungkin juga Khairy akur tiada gunanya untuk beliau berebut kerusi dengan ketuanya di Bahagian Rembau. Tok Mat lebih kuat pengaruhnya terutama pada peringkat akar umbi, saya percaya Khairy akan beri laluan, Tok Mat cerah bertanding di Rembau,” kata sumber itu ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Sejak bermulanya berita Tok Mat mahu bertanding di Rembau, khabar angin kuat mengatakan Khairy beralih kerusi ke Parlimen yang terletak bersebelahan iaitu Tampin.
Namun, sumber UMNO Bahagian Tampin pula menafikan hal itu, malah menurutnya sudah ada ketetapan oleh bahagian tersebut bahawa semua calon UMNO yang bertanding di Parlimen Tampin mestilah datang daripada UMNO Bahagian Tampin itu sendiri.
“Tidak ada apa-apa perbincangan di antara UMNO Bahagian Tampin dengan Khairy, tiada ada rundingan pun dan UMNO Tampin sudah buat keputusan antaranya calon-calon PRU-15 bagi kawasan Parlimen Tampin, DUN Gemencheh dan DUN Gemas yang merupakan kerusi tradisi UMNO Tampin hendaklah datangnya daripada UMNO Bahagian Tampin itu sendiri.
“UMNO Bahagian Tampin yakin dan bersedia dari pelbagai sudut untuk menawan kembali kerusi Parlimen Tampin serta mengekalkan kemenangan di dua kerusi DUN iaitu Gemencheh dan Gemas pada PRU Ke-5 nanti,” katanya.
Jika Khairy ditolak UMNO Tampin, ada pula yang berpandangan terdapat kemungkinan untuk bekas Menteri Belia dan Sukan itu berpindah Parlimen Jelebu yang kini disandang oleh Ahli Parlimennya iaitu, Datuk Jalaluddin Alias.
Sumber UMNO bahagian Jelebu pula memberitahu, Khairy adalah calon terbaik untuk bertanding di Jelebu dengan Jalaluddin pula bertanding di mana-mana kerusi DUN di Jelebu sekali gus dipilih sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan daripada BN.
“Ada ura-ura mengatakan berlaku percaturan seperti itu, tetapi apabila menyebut Jalaluddin sebagai calon Menteri Besar sukar juga, belum tentu beliau akan jadi Menteri Besar kerana perkara ini juga pastinya akan turut melibatkan perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya.
Namun kesemua sumber yang dihubungi Utusan Malaysia tersebut bersetuju dan mengakui bahawa Khairy sesuai untuk bertanding di kawasan bandar. Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan adalah salah satu kerusi Parlimen bandar yang boleh ditandingi oleh Khairy. – UTUSAN









