JOHOR BAHRU: Sebuah kapal tangki membawa muatan minyak ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor selepas bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Piai, Pontian semalam.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal itu ditahan kira-kira pukul 10.30 pagi oleh kapal ronda Maritim Malaysia ketika menjalankan Op Jaksa.
Katanya, kapal tangki yang berdaftar di Republik Guinea itu ditahan di kedudukan kira-kira 4.2 batu nautika Tenggara Tanjung Piai.
Tambahnya, pihaknya turut menahan enam kru lelaki termasuk nakhoda kapal warga Indonesia berusia 22 hingga 53 tahun.
“Semasa pemeriksaan awal dijalankan ke atas kapal itu, terdapat enam kru termasuk nakhoda kapal berada di atas kapal terbabit. Kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kapal tersebut tidak mempunyai kebenaran bersauh di perairan Malaysia. Kesemua mereka ditahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 di bawah Seksyen 491B (1)(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nurul Hizam berkata, pemilik dan nakhoda kapal boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.
Jelasnya, pihak pemilik dan nakhoda kapal diingatkan untuk mendapatkan kebenaran pihak berkuasa Malaysia sebelum melakukan apa-apa aktiviti di perairan negara bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang diambil.
“Maritim Malaysia sentiasa meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan Johor menggunakan segala sumber yang ada serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perairan negara.
“Sebarang aduan jenayah maritim di perairan Johor boleh hubungi hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor menerusi talian 07219 9404 atau MERS999,” katanya. – UTUSAN ONLINE