Asrama terbakar, 53 pelajar sekolah agama terselamat

Asrama terbakar, 53 pelajar sekolah agama terselamat

ANGGOTA bomba bertungkus lumus memadam kebakaran di Sekolah Menengah Agama Diniah Islamiah, Memali di Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seramai 53 pelajar lelaki terselamat apabila asrama Sekolah Menengah Agama Diniah Islamiah yang mereka diami musnah dalam kebakaran di Memali, di sini pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar 7.54 pagi sebelum 12 anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Dalam kejadian itu, sebuah asrama dua tingkat didiami 53 pelajar berusia lapan hingga 12 tahun terbakar, namun mereka terselamat kerana telah masuk ke kelas untuk sesi pembelajaran sebelum kejadian berlaku.

“Api marak dengan cepat disebabkan struktur bangunan separa kekal iaitu konkrit di bahagian bawah manakala kayu di bahagian atas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kejadian disedari seorang pekerja kantin sekolah terbabit yang mendakwa api dipercayai bermula di bahagian bawah sebelum marak ke tingkat atas bangunan berkenaan.

“Api berjaya dikawal dari merebak ke kantin serta bangunan lain dan anggaran peratus kebakaran itu lebih kurang 90 peratus, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Tambah beliau, operasi pemadaman turut dibantu jentera tangki BBP Pengkalan Hulu, Perak kerana tekanan air sedia ada di lokasi amat rendah selain bantuan lima anggota lagi dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Lalang.

Ujarnya, operasi pemantauan masih dilakukan ketika ini untuk memastikan tiada sisa api di tempat kebakaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN