Malaysia bagai hab pelacuran - Utusan Malaysia

Malaysia bagai hab pelacuran

SEBUAH pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur yang diserbu Jabatan Imigresen dan seramai 27 GRO warga asing ditahan baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Macam-macam ada! China, Vietnam, Thailand, Indonesia malah Kazakhstan pun ada.

Kebanjiran wanita warga asing dalam kumpulan umur belasan tahun dan bawah 40-an melibatkan pelbagai bangsa dan negara untuk bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) menjadikan Malaysia sebagai hab pelacuran di rantau ini.

Pakar kriminologi, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, hakikat itu tidak mengejutkan kerana lambakan GRO dari banyak negara terbukti berlaku dan fenomena itu secara tidak langsung seperti mengangkat Malaysia menjadi pusat tawaran khidmat seks.

“Terlalu ramai GRO warga asing sekali gus menawarkan kepelbagaian kepada lelaki yang suka mencari keseronokan sedemikian.

“Berbanding negara-negara jiran seperti Thailand yang selama ini dikenali sebagai syurga dunia kerana aktiviti seks, Malaysia terutama di kawasan Lembah Klang dilihat sudah mengambil alih,” dakwa beliau ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau berpendapat, pelancong asing atau rakyat negara ini sendiri yang mahu keseronokan seks tidak perlu lagi ke Bangkok cukup singgah di Bukit Bintang di ibu negara kerana di situ semua `tersedia’, yang perlu sebut sahaja pilihan.

“Selain Bukit Bintang yang sudah diketahui umum menjadi pusat seks di Kelantan pula mereka boleh hanya berkunjung ke Rantau Panjang dan tidak perlu lagi masuk ke Golok.

“Kalau ke Thailand, yang ada hanya pelacur Siam. Tapi komponen kita pelbagai jenis. China ada, Kazakhstan ada. Tambahan pula kadar tukaran wang asing di sana sudah tinggi, mungkin sebab ekonomi mereka lagi bagus jadi lebih jimat jika `berseronok’ di sini sahaja,” katanya.

Baru-baru ini, sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan, ramai wanita China yang menjadi GRO lolos masuk ke negara ini menerusi kaunter khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

Dianggarkan lima hingga 10 kaunter khas dibuka pada satu-satu masa yang dijaga pegawai imigresen bertugas sudah dibayar ejen membawa masuk warga asing berkenaan.

Kegiatan membawa GRO warga China tersebut dikesan sudah berlaku tiga tahun lalu dan terbongkar menerusi Op Selat dilakukan SPRM.

Akhbar yang juga Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia memberitahu, selain pelacuran, warga asing yang masuk tanpa dokumen dan tapisan tersebut turut ramai yang menjalankan kegiatan-kegiatan jenayah lain seperti Macau Scam dan judi dalam talian.

Beliau berkata, sekiranya perkara ini tidak dibendung, ia boleh mencetuskan masalah lebih teruk kepada negara dan masyarakat khususnya dari aspek sosial.

Sementara itu, penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, polisi kerajaan membenarkan lebih ramai kemasukan pelancong asing memudahkan industri pelacuran berkembang pesat.

“Selama ini kerajaan mengharapkan kemasukan pelancong asing yang tinggi dapat meningkat pertumbuhan ekonomi namun ada pelancong asing dari serata dunia yang datang sini untuk menjadi pelacur.

“Dengan mudahnya masuk ke negara kita, pelacuran menjadi lebih cepat berkembang. Dengan permintaan tinggi di kebanyakan bandar raya besar yang menjadi pusat berhibur dan perkara ini menyumbang kepada jenayah sosial dan moral,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sehubungan itu, Shahul Hamid mencadangkan kerajaan mencontohi pendekatan negara-negara lain membuat tapisan ketat sebelum membenarkan warga asing masuk negara ini.

“Beberapa negara lain, kerajaan mereka menggunakan strategi ‘advance clearance’ bagi mengenal pasti pelancong tulen. Jadi, sebelum mereka dibenarkan masuk, pihak berkuasa sudah tahu latar belakang mereka,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN