Lima suspek bunuh penarik kereta didakwa - Utusan Malaysia

Lima suspek bunuh penarik kereta didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan membunuh seorang penarik kereta di Kilometer 40.2 Lebuh Raya PLUS di sini, pada 20 Disember lalu.

Kesemua tertuduh, Ng Cheng Ket, 31; Kong King Xiang, 23; P. Shanker Rao, 24; Choo Zhi Jie, 18 dan Ng Cheng Peng, 30, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Maleeha Syed Hussin.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan dalam prosiding itu yang dijalankan secara maya ekoran nasihat daripada Kementerian Kesihatan yang tidak membenarkan kelima-lima suspek hadir ke mahkamah.

Arahan itu dibuat ekoran kesemua suspek kini dikenakan kuarantin di Lokap Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh telah bersama-sama berniat menyebabkan kematian terhadap seorang lelaki berusia 34 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 40.2 Lebuh Raya PLUS arah utara pada pukul 12.30 tengah malam, 20 Disember lalu.

Atas kesalahan itu, mereka semua didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mahkamah menetapkan tarikh 2 Februari tahun ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pengawai Pendakwa Inspektor Mohammad Khairi Salleh manakala semua tertuduh diwakili peguam, Datin Freda Sabapathy, Foo Fang Leong dan K. Veeranesh Babu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam satu kenyataan sebelum ini memberitahu, mangsa yang dikenali sebagai Ram, 34, ditemukan meninggal dunia dalam longkang dengan beberapa kesan tetakan dan kecederaan pada anggota badan serta kepala.

Menurut beliau, sebelum kejadian, mangsa bersama seorang lagi rakannya menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Velfire dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.

Mereka dipercayai baru sahaja menarik kenderaan terbabit selepas pemiliknya gagal membayar ansuran bulanan kepada bank.

Katanya, hasil siasatan mendapati motif kes ekoran rasa tidak puas hati tentang pembayaran kenderaan yang dibeli dan lari daripada pihak bank. 

Polis Johor menahan seramai 12 ahli geng kongsi gelap Ngo Seik Kee yang dipercayai terlibat dengan kejadian itu, masing-masing dua ditahan di tempat kejadian manakala 10 yang lain dalam satu serbuan di Bakri, Muar, pada 23 Disember lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya