Lelaki cuba rasuah polis elak dikenakan tindakan - Utusan Malaysia

Lelaki cuba rasuah polis elak dikenakan tindakan

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bukan sekali tapi berkali-kali seorang ahli perniagaan cuba memberi rasuah  RM45,000 kepada polis dia dan rakannya tidak dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki itu bertindak demikian selepas satu serbuan polis terhadap premis pusat hiburan di Ulu Tiram, Selasa lalu.

Katanya, dalam serbuan pada 11.35 malam itu, polis mẹmbuat serbuan dan menahan seramai 66 individu yang berada di premis tersebut kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau berkata, semasa serbuan dibuat, ahli perniagaan yang juga seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun itu telah menawarkan wang sogokan sebanyak RM45,000 kepada ketua pasukan tindakan khas itu.

“Walaupun suspek telah diberikan amaran sebanyak tiga kali untuk tidak berbuat demikian, namun suspek masih cuba merasuah anggota polis terbabit. 

“Dia kemudiannya ditangkap kerana cubaan rasuah manakala yang lain dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

“Sebelum ini, suspek disyaki pernah menjadi perantaraan kepada pemilik premis ini dengan menggunakan nama ketua Polis Johor bagi mendapatkan Imbuhan kewangan dan menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini. 

Ayob Khan berkata, ahli perniagaan itu telah diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut. 

Katanya, kesemua 66 individu yang ditahan di pusat hiburan itu telah dikenakan kompaun RM1,000 kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di premis tersebut. 

“Hasil saringan awal air kencing mendapati seramai 15 individu termasuk tiga perempuan berusia antara 20 hingga 54 tahun positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin,” katanya. 

“Ini merupakan kali kedua pusat hiburan berkenaan diserbu polis selepas serbuan pertama pada 1 November lalu. Hasil semakan mendapati premis itu berlesen tetapi melanggar SOP PKPP,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Johor (ENJ) 1998, Peraturan 11(PPPPB) 2020 dan Seksyen 17(b) Akta SPRM. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN